PELAJAR Aceh membantah keputusan itu di Banda Aceh. - EPA
PELAJAR Aceh membantah keputusan itu di Banda Aceh. - EPA
Reuters

Banda Aceh: Wilayah Aceh tidak akan menjalankan hukuman sebat di khalayak ramai atau membenarkan hukuman seumpama itu dirakamkan hampir setahun selepas dua lelaki dihukum seumpama itu di depan orang ramai dengan gambar yang disiarkan serta dimuat naik di Internet mengundang kritikan antarabangsa.

Bercakap kepada pemberita, Gabenor Aceh Irwandi Yusuf berkata: “Banduan sudah dihukum sekali, tetapi jika dirakamkan dan dimuat naik ke YouTube, dia seperti dihukum sepanjang hayat akibat hidup dengan imej itu.

“Kanak-kanak juga akan dilarang menyaksikan hukuman berat. Bayangkan jika kanak-kanak menyaksikan hukuman dan orang ramai bertepuk tangan. Adakah itu maknanya hukum Islam?”

Bagaimanapun, tidak semua penduduk bersetuju dengan keputusan itu dengan sekumpulan orang termasuk pelajar melakukan bantahan di Banda Aceh.

“Jika hukuman dilaksanakan dalam penjara, pasti lebih banyak kesalahan syariah di Aceh. Sekarangpun banyak kejadian jenayah,” kata peserta bantahan, Tuwanku Muhammad.

Sebatan di khalayak diperkenalkan di Aceh pada 2005 dan disokong ramai penduduk wilayah itu.

Aceh satu-satunya wilayah Indonesia yang mengamalkan undang-undang Syariah dan melaksanakan hukuman sebat untuk jenayah seperti mencuri, judi dan zina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 5:37 AM