GAMBAR hiasan, seorang lelaki meminta sedekah  di sebatang jalan di Sweden. - Agensi
GAMBAR hiasan, seorang lelaki meminta sedekah di sebatang jalan di Sweden. - Agensi
Agensi

Stockholm: Kehidupan sebagai pengemis mungkin dipandang hina kerana sering mengharapkan simpati orang ramai dan hidup diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bagaimanapun, seorang pengemis di Sweden membuktikan dengan hanya meminta wang daripada orang ramai ‘kerjaya’ itu boleh menjadikan dirinya kaya raya hingga bergelar jutawan.

Kisah pengemis itu terbongkar selepas dia ditahan polis ketika mendesak orang ramai memberinya wang di luar stesen kereta api Resecentrum di Uppsala.

Jurucakap polis Uppsala, Jale Poljarevius berkata, lelaki itu mendesak dan memarahi orang ramai supaya memberinya wang dengan alasan bagi membeli tiket kereta api untuk pulang ke rumahnya di barat Sweden.

Namun, ketika beberapa anggota polis menyoal siasat lelaki itu beberapa helai wang kertas didapati terjatuh dari poket bajunya.

“Polis yang curiga dengan lelaki itu terus membuat pemeriksaan dan terkejut apabila menemui sejumlah besar wang tunai di dalam poket dan baju pengemis berkenaan.

“Kami mengambil masa lebih sehari untuk mengira wang berkenaan yang berjumlah hampir 6 juta krona (RM3 juta),” katanya.

Menurutnya, polis masih menyiasat sama ada wang itu diperoleh lelaki berkenaan daripada hasil meminta sedekah atau dia baru memenangi loteri.

“Saya belum pernah melihat wang sebanyak ini dalam situasi seperti itu. Terlalu banyak bungkusan duit.

“Sesiapa yang membawa wang tunai sebanyak itu akan dijadikan suspek jenayah,” jelasnya.

Menurutnya, lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu kini ditahan mengikut akta pengubahan wang haram yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun jika didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 5:29 AM