JKM negeri memeriksa dokumen pengemis Rohingya dalam satu Operasi Khas Menyelamat Orang Papa Ramadan di Kuala Terengganu.
JKM negeri memeriksa dokumen pengemis Rohingya dalam satu Operasi Khas Menyelamat Orang Papa Ramadan di Kuala Terengganu.
Mohd Rizal Abdullah


DEMI wang besar ada pengemis sanggup berhijrah dari seluruh pelosok negara termasuk Sabah dan berkampung di ibu negara sepanjang Ramadan sebelum pulang ke tempat asal mereka.

Justeru, tidak hairanlah di ibu negara terutama di sekitar masjid, kawasan tumpuan pelancong dan bazar Ramadan kini dipenuhi pengemis membabitkan warga tempatan dan warga asing.

Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu negara antaranya Masjid Jamek mendapati sekurang- kurangnya tiga pengemis mula menadah bekas kosong seawal jam 10 pagi.

Hasil siasatan dan temubual Harian Metro mendapati mereka dari Johor, Perak malah Sabah dan dipercayai berada ibu negara antara seminggu dan dua minggu lalu.

Seorang pengemis yang mahu dikenali sebagai Aiman, 35, mengakui dia baru saja tiba dari Tawau, Sabah sejak minggu lalu dan menjadikan tepi jalan sebagai kediamannya sebelum mula mengemis seawal jam 10 pagi.

“Saya baru seminggu datang dari Sabah. Di sini, ramai orang yang pemurah, sehari dapatlah RM20 sehingga RM50.

“Manakala, pada hari Jumaat dapat lebih sikit kerana ramai yang datang bersolat Jumaat di sini,” katanya.

ANTARA pengemis kanak-kanak yang dibiarkan mengemis bersendirian.
ANTARA pengemis kanak-kanak yang dibiarkan mengemis bersendirian.


Bagaimanapun, pemerhatian Harian Metro selama empat jam ternyata mengejutkan apabila individu terbabit memperoleh lebih RM100 hasil sumbangan orang ramai dan jemaah masjid.

Wang kertas yang diperolehi dilihat dimasukkan di dalam poket dan hanya beberapa wang syiling yang diletakkan di dalam bekas kosong dipercayai bagi meningkatkan lagi simpati orang ramai.

Ditanya mengapa dia menjadi pengemis, Aiman berkata, dia mempunyai masalah mental dan sering dimasukkan ke hospital mengakibatkannya memilih menjadi pengemis daripada bekerja.

“Ini saja yang dapat lakukan, sudah banyak kali saya dimasukkan ke hospital, sehingga majikan meminta saya berhenti,” kata bekas juruteknik itu.

Manakala, seorang lagi pengemis dari Kluang, Johor dikenali sebagai Azlan, 45, mengakui lebih murah rezeki ketika Ramadan berbanding bulan biasa.

PENGEMIS menjadikan tepi jalan sebagai kediamannya sebelum mula mengemis seawal jam 10 pagi.
PENGEMIS menjadikan tepi jalan sebagai kediamannya sebelum mula mengemis seawal jam 10 pagi.

“Memang setiap kali Ramadan, dapat lebih sikit, ramai yang pemurah. Bukan hanya duit ringgit, ramai juga yang berikan makanan berbuka malah pakaian,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai kehadiran ramai pengemis di kawasan ini, Azlan mengakui ramai muka baharu yang turut mengemis pada Ramadan.

“Memang jadi kebiasaan, mereka tidak lama biasanya antara sebulan sehingga dua bulan saja sebelum mereka tiba-tiba hilang,” katanya yang sudah 10 tahun mengemis di kawasan itu.

Katanya, bagaimanapun, dia tidak kisah dan hanya membuat hal sendiri dengan mengemis di sekitar kawasan itu.

“Itu hal mereka, saya tidak kisah, saya juga hanya buat hal sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:10 AM