NENENG (tengah) bersama seorang anak lelakinya (kanan) ketika disoal siasat polis. - Agensi
NENENG (tengah) bersama seorang anak lelakinya (kanan) ketika disoal siasat polis. - Agensi

Bandung: Satu keluarga tinggal dengan mayat dua ahli keluarga termasuk yang sudah mati selama dua tahun dengan harapan mereka hidup semula, kata polis semalam.

Penemuan mengejutkan itu berlaku apabila seorang pegawai kesihatan melaporkan kepada polis selepas seorang wanita, Neneng Hatidjah, 77, enggan membenarkan dia masuk ke rumahnya yang berbau busuk.

Pihak berkuasa yang masuk ke rumah itu secara paksa terkejut apabila menemui mayat suami Neneng yang sudah reput dan rangka anak perempuannya ditutup dengan kain di dalam sebuah bilik.

Wanita itu menabur serbuk kopi di sekeliling mayat dan polis juga menemui berpuluh-puluh botol minyak wangi di rumah yang terletak di Cimahi, di sini.

Mayat itu dikenal pasti sebagai suami Neneng yang meninggal dunia pada Disember lalu pada usia 85 tahun dan anak perempuannya berusia 50 tahun yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Neneng yang tinggal bersama dua lagi anaknya di dalam rumah itu memberitahu, suami dan anak perempuannya meninggal dunia kerana sakit.

Dia tidak mengebumikan mayat suami dan anaknya kerana berharap mereka akan hidup semula.

“Neneng mendakwa dia mendengar bisikan memberitahu sekiranya dia menjaga mayat itu, mereka akan hidup semula,” kata jurucakap polis, Hari Suprapto.

Menurutnya, wanita itu tidak ditahan tetapi polis menyiasat kejadian berkenaan sekiranya ada unsur jenayah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 10:45 AM