Agensi

BAPA remaja perempuan Palestin, Ahed Tamimi, 16, yang menjadi ‘idola’ selepas selepas video dia menampar serta menendang dua askar Israel di Tebing Barat bulan lalu, tular, bimbang anaknya itu akan menjalani hukuman penjara yang panjang.

Bassem berkata, berdasarkan tuduhan yang dikemukakan, anaknya itu boleh dipenjara untuk masa yang panjang.

Dalam perbicaraan kes remaja itu di mahkamah tentera Israel hari ini, Ahed menghadapi 12 tuduhan, termasuk melakukan serangan dalam enam kejadian, membaling batu, menghasut dan membuat ancaman.

“Mereka membina kes terhadapnya dalam usaha memenjarakannya selama mungkin.

“Nasibnya kini berada di tangan mereka yang tidak menganggap penduduk Palestin adalah manusia,” kata bapanya kepada Al-Jazeera.

Ahed ditahan pada 19 Disember lalu, empat hari selepas video menunjukkan perbuatannya itu di luar rumah keluarganya di perkampungan Nabi Saleh, Tebing Barat, tular.

Remaja itu menampar tentera Israel selepas mereka menembak muka sepupunya berusia 15 tahun dari jarak dekat dengan peluru getah. Remaja lelaki itu mengalami pendarahan dalaman dan terpaksa diletakkan dalam keadaan koma selama 72 jam.

Menurut Bassem, Israel mahu ‘melenyapkan’ Ahed kerana dia kini menjadi simbol penentangan terhadap Israel.

“Zionis mahu menunjukkan kepada remaja Palestin lain apa akan mereka hadapi jika melawan,” katanya.

Sepupu Ahed berusia 20 tahun, Nour, yang juga muncul dalam video itu serta ibunya, Nariman, juga ditahan. Bapanya, Bassem juga sudah beberapa kali ditahan tentera Israel sebelum ini.

Peguam Ahed, Gaby Lasky, berkata berdasarkan tuduhan yang dikemukakan, ada kemungkinan remaja itu dipenjara untuk tempoh yang panjang.

Menurutnya, remaja Palestin biasanya dipenjara antara enam hingga sembilan bulan bagi tuduhan melempar batu.

Namun di Tebing Barat yang dijajah Israel, penduduk Palestin yang tertakluk kepada undang-undang tentera Zionis, kesalahan membaling batu boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Nariman pula didakwa melakukan kesalahan memuat naik video berkenaan di media sosial selain tuduhan menyerang.

Menurut Gaby, tuduhan terhadap mereka juga meliputi serangan dan kejadian lain yang tiada kaitan dengan video itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 6:23 PM
Remaja Palestin, Ahed Tamimi, yang menghadapi 12 tuduhan, termasuk menyerang tentera Israel. - Foto REUTERS/YouTube
Remaja Palestin, Ahed Tamimi, yang menghadapi 12 tuduhan, termasuk menyerang tentera Israel. - Foto REUTERS/YouTube