API dilihat marak berhampiran sebuah rumah di Santa Barbara, California, Amerika Syarikat. - AFP
API dilihat marak berhampiran sebuah rumah di Santa Barbara, California, Amerika Syarikat. - AFP

Los Angeles: Seorang anggota bomba terbunuh dalam operasi memadam kebakaran hutan hutan di California yang berlarutan sejak dua minggu lalu.

Pasukan bomba kini bertungkus lumus memadam kebakaran besar hutan di negeri itu bagi melindungi beberapa bandar pesisir pantai yang berada dalam laluan kebakaran.

Setakat ini lebih 700 rumah dilaporkan musnah akibat kebakaran itu, keempat terburuk sejak 1932.

Mayat Cory Iverson, 32, dibalut dengan bendera dan dibawa keluar dari zon kebakaran di daerah Ventura, barat laut Los Angeles sambil diperhatikan rakan seperjuangan.

“Saya sedih dengan kematian tragik Jurutera Cory Iverson. Keberanian dan komitmen beliau selama bertahun-tahun untuk penduduk California tidak akan dilupakan,” kata Gabenor California, Jerry Brown dalam kenyataannya.

Akhbar Los Angeles Daily News melaporkan jurutera Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California itu, Iverson maut dalam satu kemalangan berhampiran kawasan kejiranan Fillmore.

Kebakaran hutan yang bermula sejak 4 Disember lalu berhampiran kolej persendirian di Ojai, setakat ini sudah memusnahkan kawasan seluas 100,766 hektar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 7:06 AM