GAMBAR yang viral di media sosial India menunjukkan empat pekerja memakai topi keledar ketika menjalankan tugas di pejabat mereka di negeri Bihar.  - Agensi
GAMBAR yang viral di media sosial India menunjukkan empat pekerja memakai topi keledar ketika menjalankan tugas di pejabat mereka di negeri Bihar. - Agensi
Agensi

Bihar: Kerana bimbang akan cedera akibat terkena serpihan siling yang jatuh, pekerja di sebuah bangunan kerajaan yang sudah usang di sini terpaksa memakai topi keledar sepanjang waktu berada di pejabat.

Video menunjukkan empat pekerja melakukan tugas mereka sambil memakai topi keledar itu tular di media sosial India baru-baru ini, sekali lagi mengundang perbincangan mengenai keadaan bekerja yang teruk di negara itu.

Rakaman itu yang turut disiarkan rangkaian berita mendorong siasatan dilakukan terhadap bangunan kerajaan di daerah Areraj.

Hasil siasatan mendapati bangunan itu sudah disahkan tidak selamat untuk digunakan dua tahun lalu tetapi tidak ada tindakan diambil untuk memindahkan pekerja ke lokasi lebih selamat.

“Bangunan ini sudah lama. Dinding dan bumbungnya dalam keadaan amat teruk. Air akan meresap setiap kali hujan. Ia boleh runtuh bila-bila masa.

Memandangkan kami perlu bekerja, kami memutuskan untuk memakai topi keledar,” kata Pervez Ahmad, antara pekerja di situ.

Selepas video itu tular, pegawai kerajaan tempatan mengumumkan pejabat itu akan dipindahkan secepat mungkin.

Bagaimanapun, empat pekerja yang dirakam dalam video itu diberikan notis tunjuk sebab kerana mendedahkan masalah itu kepada media, tidak kepada pegawai atasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 10:04 AM