PEGAWAI, pakar dan wakil media antarabangsa di stesen Al-Sulaimaniah di Jeddah sebelum menaiki kereta api itu ke Madinah.  - SG
PEGAWAI, pakar dan wakil media antarabangsa di stesen Al-Sulaimaniah di Jeddah sebelum menaiki kereta api itu ke Madinah. - SG
Agensi

Jeddah: Pertubuhan Kereta Api Saudi (SRO) semalam melakukan cubaan penuh kereta api berkelajuan tinggi Haramain dari Jeddah ke Madinah.

Dengan kelajuan 330 kilometer sejam, kereta api baru itu akan mengurangkan masa perjalanan antara dua bandar raya berkenaan kepada 90 minit sahaja.

Timbalan Gabenor Makkah, Putera Abdullah Bin Bandar Bin Abdulaziz, Menteri Pengangkutan Sulaiman Al-Hamdan, pegawai dari Sepanyol bersama pegawai SRO dan wakil media antarabangsa turut menaiki kereta api itu untuk perjalanan percubaan berkenaan.

Ia berlepas dari stesen Al-Sulaimaniah di Jeddah dengan membawa 470 penumpang sebelum berhenti selama sejam 15 minit di Bandar Ekonomi Raja Abdullah di Rabigh dan meneruskan perjalanan ke Madinah dengan kelajuan antara 300 hingga 330 kilometer sejam.

Landasan kereta api laju itu ialah rangkaian sejauh 450 kilometer yang akan menghubungkan Makkah dan Madinah menerusi stesen di lapangan terbang baru di Jeddah dan Bandar Ekonomi Raja Abdullah berhampiran Rabigh dengan kemampuan kelajuan sehingga 360 kilometer sejam.

“Kami sudah bersedia untuk pelancaran secara rasmi. Semuanya berjalan lancar,” kata pengurus projek, Mariano De La Vega.

Arab Saudi dijangka menerima kira-kira 35 kereta api berkelajuan tinggi itu. Setakat ini, 11 sudah tiba dan sudah bersedia untuk memulakan operasi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 12:28 PM