JOKOWI
JOKOWI
Agensi

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia tidak bercadang menyekat media sosial lain selepas ia bertindak demikian ke atas Telegram.

“Tidak. Media sosial lain tidak akan disekat,” kata Presiden Joko Widodo semalam kepada wartawan selepas dia merasmikan Akademi Bela Negara di Pancoran, Jakarta Selatan.

Menurutnya, tindakan kerajaan menyekat Telegram dilakukan selepas aplikasi itu diawasi sekian lama dan mengambil keputusan itu atas alasan keselamatan negara.

Kerajaan Indonesia menyekat semua akses kepada Telegram Jumaat lalu dengan berkata, ia mempunyai beberapa forum yang ‘penuh dengan propaganda radikal dan pengganas.

Semalam, Jokowi berkata, banyak aplikasi media sosial lain boleh digunakan penduduk Indonesia untuk berkomunikasi.

“Kerajaan sudah sekian lama mengawasi dan kita menyekat akses kepada Telegam kerana mementingkan keamanan, keamanan negara, keamanan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pengasas aplikasi itu berkata semalam, pihaknya akan menutup saluran awam yang didakwa mempunyai hubungan dengan keganasan.

Indonesia yang menyaksikan peningkatan fahaman radikal tempatan sudahpun meningkatkan kerjasama dengan negara jiran untuk menangani kebangkitan kumpulan Daish di Asia Tenggara.

Pengasas aplikasi itu, Pavel Durov berkata di Telegram, berlaku salah faham antara syarikatnya dengan pihak berkuasa Indonesia dan dia tidak menyedari mengenai permintaan kerajaan negara itu supaya menutup beberapa saluran aplikasi berkenaan.

“Kami bukan rakan pengganas,” kata Pavel dalam saluran Telegramnya.

Dia juga mengaku kecewa terhadap tindakan Indonesia.

Menurutnya, selepas Indonesia bertindak demikian, Telegram mengambil langkah menyekat beberapa saluran yang dilaporkan kerajaan Indonesia mempunyai kandungan yang ada hubungan dengan keganasan.

Pihak keselamatan di beberapa negara sebelum ini juga mengadu aplikasi penghantaran mesej seperti Telegram dan Whatsap menyediakan ruang selamat bagi militan untuk berkomunikasi.

Beberapa kerajaan, termasuk Australia dan Britain sebelum ini juga menggesa syarikat teknologi untuk bertindak lebih bagi membantu agensi keselamatan menangani ancaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 10:43 AM