Penghantar makanan berkumpul di luar restoran.
Penghantar makanan berkumpul di luar restoran.
Agensi

Jakarta: Berikutan ramai penghantar makanan berkumpul di luar restoran menanti pesanan BTS Meal, pihak berkuasa terpaksa meminta mereka membatalkan semua pesanan dan bersurai.

Ketua Polis Jakarta Selatan, Aziz Andriansyah berkata, promosi terbaru dari restoran makanan segera itu mendapat sambutan luar biasa sehingga menyebabkan berlakunya perhimpunan di luar restoran.

"Ramai pelanggan dan penghantar makanan berkumpul di luar restoran di beberapa cawangan sekitar bandar raya ini. Disebabkan berlakunya perhimpunan, kami terpaksa meminta mereka bersurai," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Katanya, pihaknya turut menegur pengurusan beberapa cawangan restoran berkenaan di Jakarta Selatan secara bertulis.

Malah, pihaknya juga meminta aplikasi pesanan menu BTS meal dihentikan sementara.

Cawangan yang ditegur adalah McDonald's Mampang Prapatan, Pancoran, dan Pondok Indah.

Sementara itu, Ketua Pihak Berkuasa Tempatan Jakarta, Arifin berkata, pihaknya turut mengarahkan penutupan lima cawangan McDonald's di Jakarta Pusat kerana berlakunya perhimpunan.

"Cawangan ini diminta menghentikan operasi selama 24 jam," katanya.

McDonald's Indonesia baru melancarkan menu BTS Meal yang mula dijual mulai 11 pagi hari ini.

Sementara itu, Tempo melaporkan, aplikasi penghantaran makanan GrabFood dan GoFood menutup pesanan untuk McDonald's buat sementara waktu kerana terlalu banyak pesanan diterima.

Malah, penghantar makanan juga terpaksa beratur selama dua jam untuk mengambil pesanan dari kaunter.

Sementara itu, AFP melaporkan, beberapa cawangan McDonald's di Jakarta dan beberapa bandar lain terpaksa ditutup kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19.

Sekurang-kurangnya 13 cawangan restoran makanan segera itu ditutup selepas ia dibanjiri penghantar makanan yang mengambil pesanan dalam talian.

Ketua agensi ketenteraman awam, Fajar Purwoto berkata, pihaknya terpaksa menutup empat daripada enam cawangan restoran itu di Tangerang selama dua hari.

"Saya tidak mahu Tangerang menjadi zon merah bagi Covid-19 lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 7:04 PM