SEBUAH sekolah di Asakura di wilayah Fukuoka rosak teruk berikutan banjir besar dan tanah runtuh, semalam.  - AFP
SEBUAH sekolah di Asakura di wilayah Fukuoka rosak teruk berikutan banjir besar dan tanah runtuh, semalam. - AFP
Agensi

Asakura: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 20 hilang dalam banjir besar yang melanda selatan Jepun.

Dalam pada itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada ratusan ribu penduduk supaya berpindah ke tempat selamat.

Hujan lebat diluar jangkaan menyebabkan air sungai memecahi tebing, menghanyutkan jalan raya dan rumah serta memusnahkan sekolah.

Ribuan askar dan petugas penyelamat bertungkus-lumus semalam untuk menjejaki penduduk yang terputus hubungan dengan sebahagiannya diancam tanah runtuh.

Pihak berkuasa kaji cuaca berkata, keadaan mungkin bertambah buruk.

“Kami menghadapi keadaan amat serius,” kata Timbalan Perdana Menteri Taro Aso.

Lebih 50 sentimeter hujan menenggelamkan sebahagian Kyushu, empat pulau utama paling selatan Jepun sepanjang 12 jam lalu.

Hujan lebat dijangka berterusan hari ini, kata agensi itu ketika wilayah terbabit berdepan dengan kesan taufan yang membadai negara itu awal minggu ini.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga berkata, 7,500 askar, anggota penyelamat dan tentera dikerah ke kawasan terjejas.

“Kami menerima banyak maklumat mengenai mangsa yang hilang,” kata Suga. Dia bagaimanapun enggan mengesahkan jumlah itu.

Antara yang dilapor hilang ialah seorang kanak-kanak yang dihanyut air dan sepasang suami isteri yang tidak ditemui selepas kediaman mereka hanyut.

Seorang lelaki ditemui mati di bandar Asakura di wilayah Fukuoka, menurut laporan NHK dan Jiji Press.

Pegawai tempatan berkata, berdasarkan laporan yang mereka terima, 20 orang hilang.

Sebuah jambatan landasan kereta api juga musnah apabila sebahagian jambatan itu dihanyutkan air, sekali gus menjejaskan perkhidmatan kereta api.

Beberapa perkhidmatan kereta api lain terpaksa dihentikan akibat hujan lebat sementara pegawai tempatan membatalkan sesi persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 11:07 AM