TENTERA membantu kerja pembersihan di kawasan banjir di Asakura di wilayah Fukuoka, semalam.  - AFP
TENTERA membantu kerja pembersihan di kawasan banjir di Asakura di wilayah Fukuoka, semalam. - AFP
AFP

Tokyo: Jumlah kematian akibat hujan lebat dan banjir di selatan Jepun meningkat kepada 18, kata pegawai semalam, sementara pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang.

Sebahagian besar wilayah Kyushu, empat pulau paling selatan di Jepun musnah selepas air sungai melimpahi tebing dan hujan lebat menghanyutkan jalan raya, rumah serta sekolah sejak beberapa hari lalu.

Ribuan penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di gym sekolah dan bangunan awam, tetapi ramai lagi yang terkandas dengan petugas kecemasan terpaksa meredah lumpur tebal dan hujan untuk menjejaki mereka.

Laporan stesen penyiaran NHK melaporkan lebih 500 penduduk masih terputus hubungan semalam.

Jambatan yang runtuh dan kawasan yang ditenggelami air menyukarkan usaha menyelamat.

Setiausaha Kabinet, Yishihide Suga berkata, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mencari mereka yang hilang dan membantu penduduk yang terkandas.

Pegawai di Fukuoka dan Oita mengesahkan 18 orang terbunuh sementara 27 hilang.

Lima penduduk juga dalam keadaan tenat. Menurut Suga, kerajaan masih berusaha untuk memastikan sama ada kecederaan mereka ada kaitan dengan bencana itu.

Agensi kaji cuaca Jepun semalam memberi amaran, hujan lebat mungkin berterusan dan dibimbangi akan menyebabkan tanah runtuh di utara Kyushu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 6:59 AM