AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk memenjarakan pengkritik perintah darurat di selatan negara itu, beberapa hari sebelum Mahkamah Agung memutuskan kesahan perintah itu pada minggu ini.

Duterte mengisytiharkan perintah darurat di seluruh Mindanao yang menempatkan 20 juta penduduk pada lewat Mei lalu bagi menangani ancaman kumpulan Daish yang semakin berkembang di sana.

Dia juga bertekad untuk tidak menghiraukan keputusan mahkamah yang diberi kuasa pengawasan oleh Perlembagaan, dan berikrar hanya menerima cadangan pasukan keselamatan.

“Ia tidak bergantung kepada kehendak Mahkamah Agung. Patutkah saya percayakan mereka?

“Apabila saya melihat keadaan masih huru-hara dan kamu meminta saya menarik balik perintah darurat, saya akan tangkap dan penjarakan kamu,” katanya di hadapan pegawai tempatan kelmarin.

“Kita boleh berbincang mengenai perkara lain dan bertolak ansur tetapi ia bukannya ketika kepentingan negara saya menjadi taruhan,” tegasnya.

Tentera Filipina masih bertempur dengan militan Daish yang menawan Marawi yang menyebabkan hampir 400 orang terbunuh dan 400,000 penduduk menjadi pelarian.

Pemimpin pembangkang pada bulan lalu meminta Mahkamah Agung menolak undang-undang darurat berkenaan yang dianggap mereka tidak mengikut Perlembagaan.

Perlembagaan mengehadkan undang-undang darurat bagi mengelak salah guna kuasa seperti ketika pemerintahan diktator, Ferdinand Marcos.

Perlembagaan membenarkan Mahkamah Agung menyemak asas pengisytiharan undang-undang darurat yang dihadkan untuk tempoh awal selama 60 hari.

Sekiranya Presiden mahu melanjutkan undang-undang itu, Kongres boleh menyemaknya semula dan membatalkan perintah berkenaan. AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 1:40 PM