Vezmar
Vezmar

Texas (Amerika Syarikat): Seorang lelaki memfailkan saman berjumlah AS$17 (RM73) terhadap pacarnya kerana tidak berhenti menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) sepanjang mereka menonton wayang.

Brandon Vezmar, 37, dari Austin, Texas, menyaman wanita itu selepas mereka keluar Khamis lalu.

Jumlah itu merangkumi kos tiket filem 3D Guardians of the Galaxy Vol 2, lapor akhbar Austin American-Statesman.

“Temu janji kami amat membosankan. Tidak sampai 15 minit filem ditayangkan dia mula menghantar pesanan ringkas dan tidak mengendahkan permintaan saya supaya berhenti,” katanya.

Dalam petisyen tuntutannya, Vezmar berkata: “Dia mengaktifkan telefonnya sekurang-kurangnya 10 hingga 20 kali dalam tempoh 15 minit untuk membaca dan menghantar pesanan.

“Perbuatan itu melanggar polisi panggung wayang berkenaan dan merosakkan keseronokan saya menonton filem itu.”

Menurutnya dia kemudian menyuruh wanita berkenaan keluar jika mahu terus menghantar pesanan.

Wanita terbabit keluar dan terus meninggalkan pawagam, menyebabkan Vezmar tiada kenderaan untuk pulang.

Sementara itu, wanita terbabit yang enggan dikenali berkata, dia cuma tahu mengenai tuntutan itu apabila dihubungi akhbar berkenaan, Selasa lalu dan menganggapnya ‘gila.’

“Saya bersembang melalui SMS dengan rakan yang bertengkar dengan teman lelakinya. Telefon saya tidak berbunyi dan saya tidak mengganggu sesiapa pun.

“Dia meminta saya membayar semula wang tiket dan piza dibeli untuk makan malam. Saya enggan berbuat demikian. Dia yang mengajak saya keluar,” katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 10:49 AM