Hazril Md Nor

Permainan berkonsepkan Battle Royale mungkin sudah banyak diperkenalkan. Selain PlayerUnknown‘s Battlegrounds dan Fortnite, nampaknya pembangun lain cuba untuk berlumba antara satu sama lain bagi mempopularkan konsep ini dalam kalangan peminatnya.

Contohnya, Treyarch dan Activision cuba mengikuti jejak sama dengan memperkenalkan mod Battle Royale dalam permainan Call of Duty: Black Ops 4. Ia judul pertama dalam francais itu yang memperkenalkan mod ini di PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Dalam satu ‚trailer‘ yang ditayangkan di YouTube, mod baru ini memperkenalkan pertarungan sengit antara pemain dan memasukkan elemen seperti kenderaan, bot dan helikopter. Ini menunjukkan mod Battle Royale di COD: Black Ops 4 akan menampilkan perlawanan di udara dengan letupan.

Activision dalam satu kenyataan berkata, Black­out (nama mod ini) akan memperkenalkan karakter diminati peminat, senjata dan peta yang sangat besar termasuk kenderaan di laut, darat dan udara.

Pemain juga berpeluang mencuba Blackout dalam masa terdekat. Beta tertutup untuk mod ini akan dimulakan pada 14 September di Xbox One dan PC. Pengguna PS4 akan mendapat lebih awal iaitu pada 10 September. Mereka hanya perlu membuat pratempah tapi pengguna di PC boleh mencuba tanpa perlu membeli permainan itu terlebih dulu.

Treyarch juga mengumumkan info baru iaitu jumlah pemain akan berada dalam Blackout. Ia akan memuatkan sehingga 80 pemain dalam satu perlawanan. Ia kurang sebanyak 20 pemain daripada Fortnite dan PUBG tapi ia dilakukan untuk mengutamakan kualiti gaya permainan berbanding kuantiti.

Call of Duty: Black Ops 4 akan dilancarkan di PS4, Xbox One dan PC pada 12 Oktober. Permainan ini akan turut menyertakan mod baru dan sama iaitu multi-pemain dan zombi. Ia juga akan memaparkan senjata baru yang boleh didapatkan apabila anda menyelesaikan tugasan.

Berlainan berbanding keluaran terdahulu, Black Ops 4 akan memperkenalkan misi solo yang memfokuskan pada karakter berlainan dan bukannya misi ‚single-player‘ seperti dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 8:59 AM