Muhammad Saufi Hassan

Jika anda berminat untuk bermain pelbagai genre permainan secara dalam talian (multiplayer) dan mahu cabaran luar biasa, pastinya siri permainan Call of Duty: Black Ops 4 (COD:BO4) adalah jawapannya.

Beberapa bulan lalu, pemaju permainan terkemuka, Treyarch mengeluarkan siri terbaru COD: BO4 sekali gus mencipta fenomena luar biasa dalam kalangan peminat e-Sport seluruh dunia.

Seperti sebelum ini, siri permainan berkenaan membawakan konsep perspektif penembak pertama (FPS) dan pemain boleh memilih 10 operator tentera yang memiliki dua gajet berteknologi tinggi.


Walaupun siri permainan berkenaan menampilkan senario peperangan futuristik termasuk pilihan persenjataan yang pelbagai, siri permainan ini nyata tidak menghampakan.

Secara asasnya, pemain boleh memilih sebanyak 10 operator tentera yang memiliki dua gajet khusus dan setiap operator mempunyai kelengkapan gajet berbeza.

Gajet kepunyaan setiap operator itu boleh digunakan pemain dan ia menampilkan sistem guna pakai mengikut masa atau ‘cooldown.’

Pemaju siri permainan itu turut memperkenalkan satu operator baru untuk setiap operasi. Kini siri permainan itu sudah memasuki episod pertama operasi dan memperkenalkan seorang operator tentera dikenali dengan nama ‘Zero.’

Zero dilengkapi dengan gajet khusus seperti mampu untuk menggodam sistem persenjataan operator lain dan memberi kelebihan buat pasukannya.

Selain Zero, pemain boleh memilih 10 lagi operator antaranya Torque yang dilengkapi dengan kawat duri dan penghadang gelombang mikro, Clash memiliki gajet bom ‘Flash Bang’ serta perisai, Battery (pelancar grenad dan bom berangkai).


Penulis berkesempatan untuk mencuba permainan itu dan ternyata ia sebuah siri permainan berkonsepkan ‘rentak pantas’ (fast-paced). Pada masa sama turut menjadi cabaran terbesar kepada pemain.

Pada peringkat awal, penulis agak skeptikal dengan konsep permainan yang menampilkan rentak pantas, namun pengalaman pertama bermain siri permainan ini ternyata mengubah persepsi berkenaan.

Ia bukan permainan yang hanya menampilkan bentuk permainan dalam talian, tanpa mod permainan jalan cerita (kempen solo) malah menawarkan pelbagai genre permainan.

Jika hari ini, kebanyakan pemaju berlumba-lumba untuk mencipta genre permainan pertempuran secara ramai (battle royale), siri permainan ini turut menawarkan genre sama.


Tambah mengagumkan, terdapat lebih enam genre permainan antaranya Team Deathmatch, Safeguard, Heist dan beberapa mod lagi untuk pemain.

Walaupun harga permainan ini agak mahal iaitu sekitar RM249 untuk edisi biasa, tetapi penulis merasakan bahawa ia berbaloi kerana siri terbaru COD:BO4 ini bukan hanya menawarkan permainan dalam talian malah memberi pengalaman yang berbeza.

Pengeluaran edisi ini juga tepat pada masanya apabila semua pemain kita mencari judul permainan yang menawarkan mod permainan Battle Royale kerana ia menjadi kegilaan semua kaki games.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 12:17 PM