PESERTA mengayuh membabitkan laluan di Selangor dan Negeri Sembilan.
PESERTA mengayuh membabitkan laluan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Zaitie Satibi

Seramai 3,100 peserta dari 26 negara berentap bagi merebut kejuaraan dalam pertandingan berbasikal CIMB Cycle 2018 anjuran CIMB Group di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini.

Antara negara menjayakan pertandingan kayuhan kali kedua itu adalah England, Singapura, Filipina, Indonesia, Jerman, Australia, Jepun, Itali dan Amerika Syarikat. Acara turut diserikan dengan kehadiran pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang, yang juga Duta CIMB.

Dalam penganjuran kali ini, peserta menempuh pengalaman lebih mencabar dari segi jarak dan muka bumi. Mereka dilepaskan kira-kira jam 7 pagi dan perlu mengayuh sejauh 5.54 kilometer (km) mengelilingi trek SIC yang dikenali mempunyai sudut tajam dan laluan berkualiti tinggi.

Acara berbasikal itu mempertandingkan dua kategori iaitu Kayuhan Lasak sejauh 160km membabitkan Lelaki Elite, Lelaki Junior Master, Lelaki Terbuka, Lelaki Senior Master dan Wanita Terbuka serta Kumpulan. Kategori Kayuhan Cabaran sejauh 90km pula membabitkan kayuhan bagi Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Mountain Bike.

TENGKU ZAFRUL (lima dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (empat dari kanan) bersedia sebelum dilepaskan kira-kira jam 7 pagi.
TENGKU ZAFRUL (lima dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (empat dari kanan) bersedia sebelum dilepaskan kira-kira jam 7 pagi.

Peserta Kayuhan Lasak perlu merentasi lokasi di Banting, Morib, Tanjong Sepat, Sungai Pelek, Sepang, Lukut dan Sendayan sebelum menamatkan cabaran di tempat mereka bermula, manakala laluan peserta Kayuhan Cabaran biarpun mengayuh lebih singkat tetapi berliku.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pihaknya gembira menyaksikan peningkatan 200 peratus jumlah peserta dalam penganjuran kali ini, malah penyertaan dari 26 negara turut membuktikan kualiti CIMB Cycle.

“Kami amat gembira apabila mendapati pertandingan ini menjadi acara bertaraf antarabangsa dalam masa yang singkat membabitkan pengayuh tegar dari seluruh dunia.

“Sokongan kami terhadap acara berbasikal dizahirkan menerusi pertandingan ini dan objektif kami juga untuk membantu membangunkan sukan ini menerusi tajaan kepada pelumba profesional dalam kumpulan CIMB Pro-Cycling.

“Alangkah baiknya jika kita dapat membantu pelumba seperti Azizulhasni meraih emas untuk Malaysia dalam temasya Olimpik di Tokyo, Jepun pada 2020 kelak,” katanya.

PERLUMBAAN basikal CIMB Cycle 2018 menarik penyertaan dari 26 negara.
PERLUMBAAN basikal CIMB Cycle 2018 menarik penyertaan dari 26 negara.

Hadiah wang tunai dan plak diberikan kepada kumpulan serta individu yang menamatkan cabaran pada kedudukan tiga terbaik dan lima terbaik dalam semua kategori, manakala peserta yang berjaya menghabiskan perlumbaan menerima sijil elektronik dan medal.

Sementara itu, peserta dari Itali, Marchollo Salvatore, 48, berkata, biarpun keletihan di akhir pertandingan, dia gembira kerana dapat menamatkan cabaran yang disertai ramai peserta profesional.

“Saya pernah menyertai acara seperti ini di Sabah dan Filipina, namun ia tidak sehebat CIMB Cycle yang sangat mencabar.

“Tambah lagi, acara diadakan di litar membuatkan saya seolah-olah menyertai perlumbaan Formula Satu (F1), cuma bezanya kami mengayuh basikal,” katanya.

 ACARA diserikan kehadiran Azizulhasni (tengah) yang turut beramah mesra dengan peserta.
ACARA diserikan kehadiran Azizulhasni (tengah) yang turut beramah mesra dengan peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 1:15 AM