Azizulhasni bermesra dengan sebahagian peserta pada CIMB Cycle 2019 di Dataran Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Azizulhasni bermesra dengan sebahagian peserta pada CIMB Cycle 2019 di Dataran Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Azlan Muhammad Zain


JAGUH keirin negara, Azizulhasni Awang akan "berwajah baru" apabila dijangka lebih kuat dan pantas bagi mengharungi tahun terakhir mengutip mata kelayakan Olimpik 2020 yang bermula pertengahan tahun ini.

Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman berkata, dia sudah mencapai tiga kilogram jisim otot selepas berusaha keras di bawah kendalian jurulatihnya, John Beasley di Melbourne sejak beberapa bulan lalu.

"Ia kedengaran sedikit namun tiga kilogram jisim otot adalah sesuatu yang sangat sukar. Banyak kerja keras dilakukan di gimnasium... saya perlu makan sehingga enam atau tujuh kali sehari dalam mencapainya.

"Sekarang saya perlu menambah dua kilogram jisim otot sebelum mula bertanding pada musim baru Jun nanti.

Peningkatan ini akan menambah kekuatan saya ketika melakukan kayuhan," katanya yang kini mencapai berat 73 kilogram.

Menurut pelumba kelahiran Terengganu itu, musim lalu berakhir dengan sempurna untuk dirinya yang berada dalam kedudukan yang baik dari segi kelayakan Olimpik dan fokus utamanya kini adalah menambah jisim otot bagi menjadi lebih kuat dan pantas.

"Saya akan kembali bertanding pada Jun di Eropah dengan menyertai beberapa perlumbaan Grand Prix disusuli siri Piala Dunia bagi mengumpul mata ke Olimpik,” katanya.

Syed Saddiq (tengah) bersama Zafrul dan Azizulhasni (kanan) melepaskan sebahagian peserta CIMB Cycle 2019.
Syed Saddiq (tengah) bersama Zafrul dan Azizulhasni (kanan) melepaskan sebahagian peserta CIMB Cycle 2019.

Musim baru turut membolehkan dia berlumba dengan nama Team Azizul yang sudah diluluskan pendaftaran oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selain tiga pelumba muda tempatan turut tersenarai menyertai pasukan profesional itu.

Terdahulu Azizulhasni yang juga Duta CIMB hadir pada edisi ketiga CIMB Cycle 2019 yang membabitkan 3,700 peserta dari 26 negara di Dataran Putrajaya, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 8:47 PM