DIIRINGI kawalan keselamatan trafik.
DIIRINGI kawalan keselamatan trafik.
Aniza Zainudin


Menyokong inisiatif Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mempromosikan gaya hidup sihat menerusi sukan berbasikal, atlet pelumba lebuh raya negara, Anuar Manan turut memeriahkan program Kayuhan Hidup Sihat MPSJ.

Menampilkan dua kategori kayuhan, MPSJ ‘Road Challenge’ (Cabaran Jalan Raya) merangkumi jarak sejauh 25 kilometer (km) dan lima km bagi ‘Family Ride’ (Kayuhan Keluarga), program ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 700 peserta.

Menurut Anuar, peluang diberikan MPSJ membuka ruang buatnya untuk mengeratkan silaturahim bersama penggemar sukan berbasikal sama ada profesional mahupun amatur.

“Sekiranya jadual tidak padat dan mempunyai kelapangan, selalunya saya tidak menolak permintaan menyertai program berbasikal bersama masyarakat seperti hari ini.

“Bagi saya, ia satu kesempatan terbaik untuk saya berkongsi ilmu dan pengalaman dalam sukan berbasikal lebuh raya. Tambahan pula, sukan ini kian popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Saya juga ingin memberi semangat dan dorongan kepada generasi muda yang mempunyai minat dan berhasrat berkecimpung dalam sukan berbasikal secara profesional,” katanya ketika ditemui di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPSJ Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, program tahunan sejak 2011 itu menjadi satu platform kepada komuniti Subang Jaya bersama MPSJ secara langsung.

Selain menerapkan gaya hidup sihat, beliau mengakui program ini mengajak masyarakat setempat melakukan aktiviti fizikal dan menyertai program komuniti tanpa mengeluarkan kos tinggi apabila tiada bayaran dikenakan.

Berkongsi perancangan MPSJ dalam mensejahterakan masyarakat, Mohd Zulkurnain berkata MPSJ sedang membina laluan basikal selamat sejauh 15km di Putra Heights dan dijangka siap menjelang tahun baru.

Bagi fasa kedua pembinaan laluan basikal selamat, MPSJ merancang untuk membina laluan sejauh 25km sama ada di Puchong mahupun Seri Kembangan.

Program itu bermula jam 7.30 pagi itu dimeriahkan dengan aktiviti tambahan seperti fiesta sarapan pagi trak sajian, sembang santai bersama Anuar Manan, cabutan bertuah, karikatur dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

Sebaik tamat program kayuhan, sesi penerangan siri keempat bagi 2017 dilaksanakan bagi mewujudkan saluran komunikasi dua hala antara MPSJ dan komuniti dalam menyampaikan maklumat, pandangan, masalah serta aduan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:13 AM