LANDSKAP ini membantu persekitaran lebih mampan.
LANDSKAP ini membantu persekitaran lebih mampan.
Susunan Nurul Husna Mahmud


BANJIR kilat dan cuaca panas menunjukkan perubahan iklim yang ekstrim dan boleh mempengaruhi persekitaran termasuklah rutin individu.

Secara tidak langsung ini menjejaskan infrastruktur dan kualiti kehidupan komuniti setempat yang menetap di kawasan berisiko kerana terdedah kepada cuaca sedemikian terutama kawasan bandar.

Namun seni bina landskap boleh merubah senario apabila terdapat rekaan lestari terutama di kawasan kejiranan metropolitan yang menjadikan ruang itu lebih mampan dalam keadaan apa pun.

Rekaan landskap Promenade iaitu taman permainan hibrid berkonsepkan taman hujan yang terletak di Maryland Columbia, Amerika Syarikat umpamanya berkeluasan 3,716 meter persegi.

Elemen taman itu yang mengambil kira rekaan yang mengekalkan spesies tanaman natif berpaya dan sistem tuaian air hujan serta pengurusan banjir ribut membuatkan taman ini contoh terbaik menangani isu banjir besar yang kerap berlaku di banyak bandar serata dunia.

Menariknya Promenade yang menjadi lokasi rekreasi kanak-kanak itu tidak mengabaikan ciri-ciri menyeronokkan iaitu inovasi artis restorasi dan arca, Mary Ann Mears apabila menampilkan Petal Play iaitu struktur binaan menyerupai kelopak bunga merangsang keterujaan dalam jiwa kanak-kanak untuk menerokainya.

Bukan hanya bermain, akses dengan landskap itu menggalakkan kanak-kanak berseronok sambil mempelajari satu atau dua perkara mengenai cara taman itu boleh menampung air hujan dari langit ke bumi.

PENGEKALAN tanaman renek dan natif berpaya membantu memperlahankan aliran air ke tempat takungan.
PENGEKALAN tanaman renek dan natif berpaya membantu memperlahankan aliran air ke tempat takungan.

Sementara itu wakil dari Design Collective Brian Reetz berkata, melihat taman hibrid itu menjadi landskap sempurna terutama dalam mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk kanak-kanak bermain dan pada masa yang sama mengurangkan efek ekstrim cuaca terhadap kompleks sedia ada.

"Usaha mengekalkan penggunaan tanaman natif berpaya dalam lembangan membantu memperlahankan aliran air sebelum dialirkan ke saliran penyimpanan air.

"Air itu 'dituai' dan digunakan sebagai nilai tambah iaitu kegunaan untuk lima air pancuran berkabus di plaza yang dikendalikan lima butang khas.

"Ia menjadi spesifikasi permainan interaktif penuh 'magis' apabila tidak boleh diramalkan butang yang mana boleh melepaskan air," katanya.

KOMBINASI antara tanaman natif dan pengurusan banjir ribut.
KOMBINASI antara tanaman natif dan pengurusan banjir ribut.

Katanya, setiap butang yang ditekan boleh mencetuskan air pancuran, menyembur air setinggi 0.7 meter ke udara, tetapi dalam urutan rawak jadi kanak-kanak tidak tahu yang mana satu akan menyembur.

Air pancut menghasilkan efek kabus penyejuk yang kebanyakannya 'hilang' dan menyejat. Ia bukannya menyebabkan lantai basah.

Papan tanda tafsiran juga menerangkan tujuan dan kaedah mengurangkan aliran air ribut yang laju. Landskap itu yang dipenuhi dengan pokok renek, rumput asli, sedges dan beberapa spesies berbunga turut menjadi lembangan bioretensi membentuk penghalang intuitif antara tapak kanak-kanak bermain dan jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 6:30 AM