HAMPARAN bunga kuning kekacang pintoi.
HAMPARAN bunga kuning kekacang pintoi.
Muhamad Adli Salihin Samsudin

Salam estetika kepada semua. Tanaman ornamental atau sering dikenali sebagai tanaman hiasan sememangnya mempunyai keunikan tersendiri. Dari bentuk pokok, daun, pertumbuhan dan warna yang terdapat pada tanaman itu, semuanya menampilkan keindahan luar biasa dalam menyerikan landskap taman.

Jadi, minggu ini saya teruja untuk membicarakan berkenaan tanaman itu yang menghasilkan bunga atau daun kuning secara semula jadi sekali gus menyerlahkan keceriaan taman.

Tanaman hiasan yang menghasilkan bunga atau daun kuning biasanya boleh ditanam dengan menggabungkannya bersama pokok warna lain seperti merah, hijau, ungu dan putih. Namun ada juga taman yang lebih dominan menggunakan elemen kuning sebagai penyeri tanpa perlu menggabungkan tanaman hiasan lain.

Ia berdasarkan konsep dan fungsi sesuatu taman itu di reka. Kuning dalam segmen tanaman hiasan juga dianggap sebagai keceriaan dan dijadikan sebagai kesan khas. Warnanya yang cerah dan terang menjadikan taman mudah dilihat dari jarak jauh.

KUNING juga menjadi warna pembahagi kepada tanaman lain.
KUNING juga menjadi warna pembahagi kepada tanaman lain.

Dari segi psikologi pula, kuning ini boleh membuatkan seseorang menjadi optimis, riang dan positif. Begitu juga dengan taman. Jika ada tanaman yang mempunyai bunga atau daun semula jadi dalam warna itu dan bukan terhasil kesan kekurangan nutrien, ia dapat memberikan impak menarik kepada taman selain menyerlahkan nilai estetikanya. Malah tanaman hiasan berkarakter kuning juga sering digelar tanaman ‘emas’ disebabkan warnanya yang bersinar dan menyerlah seakan-akan warna emas sebenar.

Antara tanaman yang menghasilkan bunga atau daun kuning yang biasa digunakan dalam projek landskap di negara kita sama ada landskap pinggiran jalan, taman awam atau sekitar kawasan kediaman adalah pokok golden chain (Lophanthera latescens), rajah kayu (Cassia fistula), tasbih (Canna ‘Yellow’), marigold (Tagetes erecta), kenanga (Cananga fruticosa), golden bush (Galphimia glauca), tembaga suasa Kuning (Crinum ‘Yellow’) dan kekacang pintoi (Arachis pintoi).

Uniknya, semua pokok ini adalah tanaman hiasan yang terdiri daripada pelbagai kategori iaitu pokok teduhan, renek dan penutup bumi. Selain memberikan mood yang positif dan tenang kepada pengunjung taman, ia dapat menambahkan visual keindahan persekitaran dengan aura segar semula jadi.

POKOK tembaga suasa ini mempunyai daun kuning.
POKOK tembaga suasa ini mempunyai daun kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 2:04 AM