KITAR semula sisa makanan untuk dijadikan kompos.
KITAR semula sisa makanan untuk dijadikan kompos.

Susunan Hajahfarhana Tarmudi

[email protected]

Tahukah anda bahawa masa depan anak juga bergantung kepada sejauh mana kita berjaya melindungi alam sekitar pada hari ini. Biarpun sedikit perubahan kepada gaya hidup, ia mampu memberi perbezaan besar dalam kehidupan akan datang.

Cubalah beberapa panduan yang dikongsi oleh pakar web di United Kingdom, babycenter.com.my bagi melestarikan alam sekitar bermula dari rumah.

Idea berkenaan sedikit sebanyak memberi contoh yang baik kepada anak dalam memperkenalkan ting­kah laku yang cintakan kehijauan alam sekeliling.

Tabiat keibubapaan ‘hijau’ dalam rumah:

1. Hentikan pembaziran elektrik

Peralatan elektrik yang mempunyai mod siap sedia (stand by) menggunakan jumlah tenaga yang hampir sama dengan memasang mentol lampu konvensional secara berterusan.

Sentiasa padamkan suis televisyen, pemain cakera video digital (DVD), komputer, mesin basuh dan peralatan elektronik besar yang lain apabila selesai menggunakan peralatan berkenaan. Selain itu, elak meninggalkan telefon bimbit atau kamera digital dalam keadaan mengecas jika tidak perlu.

2. Nyalakan dengan betul

Mentol lampu tradisional membazirkan banyak tenaga. Ini kerana ia menukarkan tenaga elektrik kepada tenaga haba, bukannya cahaya.

Mentol lampu jimat tenaga hanya menggunakan satu perempat daripada jumlah elektrik yang digunakan mentol biasa untuk menghasilkan jumlah cahaya yang sama dan ia juga tahan hingga 12 kali lebih lama.

3. Pembaziran air pam tandas

Memandangkan perubahan iklim mengubah corak cuaca dunia, penggunaan air kini menjadi isu besar sama seperti karbon. Menurut Agensi Alam Sekitar United Kingdom, sehingga 30 peratus air dalam rumah digunakan untuk mengepam tandas.

Melalui pemasangan pengepam pendek atau tangki berkapasiti rendah, ia boleh membantu mengurangkan jumlah air yang digunakan dalam rumah.

Bagi cara alternatif yang berteknologi rendah, letakkan batu atau botol plastik satu atau dua liter yang diisi dengan batu kecil di dalam tangki tandas. Cara berkenaan membantu menjimatkan satu atau dua liter air bagi setiap pengepaman.

4. Paip bocor dan pancuran air

Menakjubkan, air yang menitik daripada paip yang bocor boleh menyebabkan pembaziran sehingga 75 liter sehari, cukup untuk mengisi separuh tab mandi.

Justeru, pastikan anda betulkan dengan segera sebarang kebocoran yang berlaku. Walaupun pancuran secara tradisionalnya dianggap lebih mesra alam, jenis pancuran moden yang berkuasa tinggi boleh meng­gunakan lebih ba­nyak air berbanding mandi di dalam tab kurang daripada lima minit. Selain itu, jangan biarkan paip terbuka ketika memberus gigi bagi mengelakkan pembaziran.

5. Basuhan sejuk

Tahukah anda bahawa mencuci baju pada suhu 30 darjah Celcius juga menjimatkan tenaga? Justeru, tidak hairanlah jika ada serbuk pencuci moden kini diformulasi supaya berkesan pada suhu air yang rendah kecuali jika pakaian sangat kotor.

Selain itu, sentiasa penuhkan mesin basuh dengan pakaian sebelum ia dibasuh bagi membantu mengurang­kan jumlah tenaga elektrik dan air yang digunakan.

6. Jemur baju di luar rumah

Pengering baju yang terbaik masih lagi menggunakan ampaian di bawah cahaya matahari, itupun jika rumah mempunyai ruang untuk menjemur pakaian di luar.

Jika mempunyai mesin pengering, bersihkan habuk daripada penapisnya setiap kali sebelum memasukkan pakaian kerana ia membantu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga kira-kira 30 peratus.

Kurangkan jumlah sampah

1. Susu ibu yang terbaik

Setiap botol susu formula memberi kesan kepada alam sekitar seperti memasak air menggunakan cerek elektrik, kertas dan plastik yang digunakan untuk membungkus susu tepung. Bukan itu saja, penternakan lembu memerlukan kawasan yang luas dan ia turut menyumbang kepada masalah hujan asid.

2. Fikir semula penggunaan tisu lembap

Kebanyakan tisu lembap mengambil masa beberapa tahun untuk diuraikan. Fikirkan jumlah tisu yang digunakan untuk mengelap seorang bayi. Kurangkan jumlah tisu yang digunakan dan cuba alternatif lain apabila perlu. Misalnya, menggunakan sapu tangan lembap untuk mengelap muka bayi ketika berada di luar rumah.

3. Bawa beg sendiri

Beg plastik memang murah, tapi kemudahan ini datang dengan kos yang tinggi kepada alam sekitar. Kita boleh melakukan perbezaan dengan menggunakan beg kanvas atau beg khas apabila membeli-belah. Jika boleh, guna semula beg plastik lama atau barangan lain yang masih dalam keadaan baik.

4. Bawa botol minuman sendiri

Mengilang dan mengitar semula botol air plastik menggunakan tenaga. Alternatif yang kurang mahal dan lebih mesra alam daripada membeli air minuman dalam botol ialah dengan mengisi semula botol aluminium atau keluli tahan karat dengan air kosong.

5. Kompos

Dianggarkan sehingga satu pertiga daripada sampah yang kita buang setiap tahun boleh ditukar menjadi kompos berharga untuk tanaman di samping me­ngurangkan jumlah yang dihantar ke tapak pembua­ngan.

Jadikan sisa buangan dapur yang tidak dimasak kepada kompos seperti kulit buah dan sayuran, kulit telur, sisa teh dan kopi (tetapi bukan produk berasaskan haiwan atau susu).

Selepas beberapa bulan, sisa buangan ini bertukar menjadi baja untuk menyuburkan pokok bunga, sayur-sayuran dan tumbuhan hiasan.

6. Berkebun

Berkebun adalah cara yang bagus untuk kanak-kanak berinteraksi dengan alam sekitar. Bagi kawasan rumah yang tidak mempunyai ruang tanah, boleh cuba menanam pokok di dalam pasu. Namun, pastikan ibu bapa sentiasa ada bersama dengan anak ketika aktiviti berkebun dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 5:22 AM