RUANG berbumbung kosong dibangunkan landskap berkonsepkan laman terapi.
RUANG berbumbung kosong dibangunkan landskap berkonsepkan laman terapi.
Nurul Husna Mahmud


Taman Tergantung Babylon yang dibina Raja Nebuchadnezzar II sebagai tanda kasih kepada isterinya Amyitis iaitu puteri dari kerajaan Medes dilihat satu penemuan penting dalam tamadun terdahulu.

Ia memperlihatkan idea atau konsep taman yang dibina di anjung, beranda atau teres.

Menariknya mengenai konsep taman itu berasaskan binaan struktur konkrit, diubah menjadi kawasan 'hijau' yang memberi nilai tambah terutama kepada aspek estetik selain berfungsi sebagai laman terapi.

Tidak hairan konsep berkenaan kini cukup relevan dengan inisiatif kebun bandar atau landskap berasaskan tumbuhan yang boleh dimakan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan herba di bangunan bertingkat termasuk bangunan pejabat.

Terbaharu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil mengetengahkah konsep itu menerusi Laman Hijau@3 apabila podium di tingkat tiga Wisma MBSA iaitu kawasan berbumbung kosong menjadi landskap tanaman berfaedah yang dapat meningkatkan akses kepada produk tanaman segar, berkualiti dan sihat.

AKUAPONIK antara kaedah pertanian digunakan di laman berkenaan.
AKUAPONIK antara kaedah pertanian digunakan di laman berkenaan.

Uniknya Laman Hijau@3 turut menampilkan tiga kaedah pertanian iaitu fertigasi, akuaponik dan hidroponik di lokasi berkeluasan 625 meter persegi itu.

Menurut pegawai pertanian di Jabatan Landskap MBSA, Majidah Md Ali, inisiatif mewujudkan landskap itu juga adalah kesinambungan daripada usaha MBSA yang bergiat aktif dalam kebun komuniti.

"Dulunya kawasan ini hanya digunakan sebagai laluan struktur berbumbung menghubungkan antara kafe dengan dewan mesyuarat. Selebihnya adalah kawasan kosong dengan lantai jubin.

"Mantan Datuk Bandar MBSA kelapan, Datuk Haris Kasim mahu ruang ini dibangunkan landskap berkonsepkan laman terapi berlatarkan tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan.

"Namun, projek ini hanya boleh direalisasikan bermula Ogos tahun lalu dan siap pada 20 Januari lalu. Ia mengambil masa kira-kira lima bulan bagi kerja membangunkan struktur tambahan kerana kawasan ini di atas bangunan selain berlantai konkrit," katanya.

KAKITANGAN dan pengunjung Wisma MBSA boleh bersantai dan menenangkan diri di Laman Hijau@3.
KAKITANGAN dan pengunjung Wisma MBSA boleh bersantai dan menenangkan diri di Laman Hijau@3.

Majidah juga tidak menafikan kerja awal terutama pembinaan struktur tambahan pada dua plot utama iaitu A dan B antara fasa paling mencabar apabila kedudukan laman itu benar-benar terletak atas bangunan pejabat.

"Laman Hijau@3 ini juga terbahagi kepada dua plot tanaman utama iaitu A dan B berdasarkan pembahagian struktur berbumbung di tengah kawasan ini.

"Plot A ini lebih kepada sayur-sayuran dan turut dibina struktur konkrit yang bertindak sebagai plot atau batas tanaman selain binaan seperti gerbang bagi tanaman menjalar 'memanjat.'

PLOT B menempatkan tanaman jenis herba.
PLOT B menempatkan tanaman jenis herba.

"Sementara plot B pula lebih kepada tanaman herba selain akuponik iaitu kaedah penanaman menggabungkan ternakan ikan dan tanaman serta hidroponik.

"Bagi memastikan pembinaan laman ini tidak menjejaskan struktur bangunan sedia ada terutama pejabat terdapat di bawah bangunan, kami turut melakukan kerja perincian pada bahagian dasar iaitu lantai.

"Ia membabitkan kaedah tertentu seperti penggunaan material seperti fabrik untuk mengoptimumkan penyerapan air, tiada kebocoran dan lebih kemas.

"Begitu juga penggunaan membran iaitu sejenis plastik hitam sebagai struktur pertama selepas konkrit sebelum rumput tiruan bagi membantu aliran air ke saliran sepatutnya," katanya.

PEKERJA kontrak membantu dalam kerja menyelenggara laman.
PEKERJA kontrak membantu dalam kerja menyelenggara laman.

Bagi memastikan kelangsungan terutama kerja penyelenggaraan laman itu, pihak MBSA juga mengupah pekerja kontrak bagi memastikan pengurusan Laman Hijau@3 sentiasa dalam keadaan terjaga.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Shah Alam, Shahrin Ahmad berkata, inisiatif MBSA mewujudkan laman terapi berasaskan produk tanaman berguna itu juga adalah seiring misi organisasi berkenaan ke arah bandar raya Shah Alam rendah karbon 2030.

MENARIK susun atur landskap pada Laman Hijau@3.
MENARIK susun atur landskap pada Laman Hijau@3.

"Projek ini juga adalah inisiatif mengetengahkan konsep bangunan hijau yang mana antara pelan Shah Alam ke arah bandar raya rendah karbon pada 2030.

"MBSA mendapat dana menerusi Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) dari Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

"Selain laman ini, ada juga inisiatif lain seperti penggunaan sensor bagi kemudahan lampu dalam bangunan di kawasan tertentu yang hanya menyala jika ada individu melaluinya," katanya.

Beliau berharap, usaha dilaksanakan MBSA itu menjadi contoh kepada komuniti dan bangunan lain dalam kawasan pentadbiran MBSA.

MENARIK suasana ‘taman tergantung’ di Wisma MBSA.
MENARIK suasana ‘taman tergantung’ di Wisma MBSA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 6:30 AM