RUMAH jenis townhouse dilihat dari luar sementara pelan bangunan berbentuk seperti sayap rama-rama.
RUMAH jenis townhouse dilihat dari luar sementara pelan bangunan berbentuk seperti sayap rama-rama.
Susunan Zaitie Satibi


BIRU gelap bukan tergolong dalam kumpulan warna hangat, namun ketepatan dekorasi membuatkan ruang dalaman kediaman jenis townhouse di London ini tampil menarik. Ruang yang asalnya gelap dan tidak bermaya itu menerima sentuhan Biasol iaitu sebuah studio dari Melbourne, Australia.

Kediaman yang dinamakan sebagai Butterfly House itu sempena rekaan ruang berbentuk dengan bumbung seperti sayap di timur London. Berukuran 90 meter persegi, rumah dua tingkat itu pernah digunakan sebagai rangkaian bilik kecil dan sempit yang mempunyai akses terhad kepada cahaya semula jadi.

Kini ruang dalamannya tampil lebih menarik dengan pilihan warna sesuai. Ia atas permintaan pemiliknya yang juga pasangan suami isteri muda. “Cahaya matahari berubah-ubah. Ia mempunyai keupayaan menukar suasana ruang sebagaimana kita hidup dan saling perlu memerlukan. “Kami bawakan gaya Australia untuk cahaya semula jadi dan ruang tamu terbuka ke dalam Butterfly House ini.

KABINET dibina rendah membolehkan cahaya masuk menerusi tingkap.
KABINET dibina rendah membolehkan cahaya masuk menerusi tingkap.

“Pada masa sama kami mengekalkan sentimen dan perincian klasik Inggeris sedia ada,” kata pemilik studio, Jean-Pierre Biasol. Buat permulaan, dinding pemisah sedia ada di tingkat bawah dibuka untuk mewujudkan ruang tamu dan ruang makan terbuka. Menambah kelainan, dapur bertema biru gelap dengan kabinet rendah yang sengaja dibina untuk mencipta kelainan dan memastikan cahaya tidak disekat masuk. Meja dapur dilapisi permukaan marmar hitam, sementara kaki meja daripada tiang tembaga pula memberikan gambaran bebas.

Arkiteknya juga ingin menjadikan ruangan dapur seakan-akan bersambung dengan ruang tamu yang terletak bersebelahan. Sofa biru gelap diletakkan di tengah tengah ruang tamu dilengkapkan ilustrasi biru oleh artis British, Tracey Emin. Objek kontranya pula adalah kerusi makan berwarna merah jambu pucat.

Perincian ruang yang asal seperti lantai kayu dan pendiang api berhias dikekalkan, namun permukaan sekelilingnya dicat baru dengan lapisan cat putih bagi membolehkan ruang itu kelihatan lebih terang. Biru gelap sekali lagi digunakan di bilik tidur pada tingkat atas dan kepingan marmar kelabu dipasang pada sebahagian dinding dengan susunan tulang ikan sebagai rujukan visual halus kepada kediaman berciri klasik Inggeris itu.

Ini bukan hasil kerja pertama Biasol menggunakan warna biru sebagai asas hiasan dalam sesuatu ruang kerana turut menampilkan rona sama pada hiasan dalaman sebuah restoran di London.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 3:10 AM