PEMILIK perlu tahu matlamat hiasan sebelum buat perubahan.
PEMILIK perlu tahu matlamat hiasan sebelum buat perubahan.
Hafiz Ithnin


PEJAM celik, nampaknya sudah dua minggu lebih kita berpuasa. Aura sambutan Aidilfitri juga kian terasa. Pastinya suasana penuh kegembiraan ingin disambut seluruh umat Islam selepas sebulan berpuasa.

Dalam masa sama, kediaman antara elemen penting untuk dimeriahkan. Sudah tentu antara aktiviti yang wajib berlangsung ketika sambutan Aidilfitri adalah mengunjungi rumah sanak-saudara dan jiran tetangga.

ANTARA aturan kelengkapan rumah yang tidak mengganggu pergerakan tetamu.
ANTARA aturan kelengkapan rumah yang tidak mengganggu pergerakan tetamu.

Mengulas berkenaan perkara itu, Pensyarah Pusat Pengajian, Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM, Dr Mohd Jaki Mamat berkata, hiasan rumah sempena Aidilfitri tidak boleh disamakan dengan kerja reka bentuk dalaman secara menyeluruh.

“Trend ini semakin popular di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menggambarkan masyarakat semakin prihatin seterusnya membuktikan berlaku perkembangan dari aspek cita rasa dan pengetahuan.

“Jika disingkap kembali zaman kanak-kanak, apabila tiba musim perayaan kita sibuk membantu ibu dan ayah menggantung kad raya, mencuci atau menukar langsir, perabot, permaidani dan sebagainya.

PERLU bijak menyusun dan memilih perabot yang tidak terlalu sarat untuk ruangan terhad.
PERLU bijak menyusun dan memilih perabot yang tidak terlalu sarat untuk ruangan terhad.

“Aktiviti sebegini sebenarnya sudah muncul lebih awal dari itu dan sememangnya menghias rumah untuk menyambut hari raya diambil berat masyarakat kita.

Cuma pada hari ini, hiasan rumah lebih kompleks dan pelbagai,” katanya.

Memahami kepentingan dekorasi sempena menyambut ketibaan Aidilfitri, pastinya semua jenis kediaman ingin tampak ceria tidak kira pangsapuri atau kondominium.

Beliau berkata, pemilik perlu mempunyai kefahaman berkenaan matlamat hiasan terlebih dahulu bagi menentukan tujuan sebenar hiasan dilakukan.

“Tujuan ini adalah berbeza bagi setiap individu. Ibu bapa contohnya, keseronokan menyambut perayaan dalam kalangan anak-anak sering menjadi keutamaan, maka hiasan perlu mencerminkan perkara itu dengan menimbulkan suasana gembira dan ceria untuk mereka.

“Sesetengah hiasan pula menitik beratkan tetamu, maka ia dihasilkan untuk menimbulkan perasaan dihargai dan diraikan kepada tetamu. Seterusnya memberi kesan pula kepada interaksi antara tetamu serta pemilik kediaman ketika berkunjung,” katanya.

SUSUNAN perabot dan perhiasan moden di ruang tamu sesuai ketika perayaan.
SUSUNAN perabot dan perhiasan moden di ruang tamu sesuai ketika perayaan.

Katanya, pemilik kediaman juga perlu memberi perhatian kepada laluan masuk. Bermakna hiasan dalaman rumah perlu bermula di bahagian pintu dan laluan masuk.

“Laluan masuk adalah ekspresi pertama yang dilihat tetamu dan bakal mempengaruhi perasaan mereka. Bagaimanapun prinsip reka bentuk dalaman yang sering mengutamakan fungsi berbanding imej perlu diamalkan dengan memastikan tiada halangan pada laluan masuk seperti pasu bunga atau perabot.

“Penggunaan warna yang kontra dengan aksesori boleh dilakukan bertujuan memberi penegasan fungsi ruang dan mencuri perhatian tetamu dari luar rumah,” katanya.

Tentukan titik tumpu utama apatah lagi secara asas hampir semua kediaman mempunyai titik tumpu yang biasanya di ruang tamu. Namun, perlu disedari titik tumpu boleh diterapkan pada ruang lain.

Umpamanya dinding laluan antara ruang makan dan ruang tamu, ruang makan, ruang keluarga dan sebagainya. Selari dengan perayaan, titik tumpu perlu dihidupkan semula supaya ia boleh memenuhi beberapa aktiviti perayaan.

“Hari ini trend mengambil gambar keluarga berpakaian lengkap hari raya menjadi kemestian yang kemudian dijadikan kad raya digital dan dihantar melalui pelbagai media.

“Maka hiasan dalaman boleh diselarikan dengan trend berkenaan. Memandangkan hiasan ini bersifat perayaan, lakukan perkara mudah terlebih dahulu seperti mengecat dinding atau menukar kertas dinding bagi yang mempunyai peruntukan lebih,” katanya.

Tambahnya, elakkan motif atau tekstur dinding yang besar dan kasar untuk mengekalkan titik tumpu kepada figura dalam gambar berbanding latar belakang ruang itu sendiri iaitu dinding serta persekitarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:30 AM