ARCA yang direka khas ‘Love Ledang Tangkak’ menjadi fokus utama taman.
ARCA yang direka khas ‘Love Ledang Tangkak’ menjadi fokus utama taman.
LALUAN pintu masuk melalui gerbang mini turut menyelitkan tujuh jubin bermotif bunga dan tujuh pasu bunga.
LALUAN pintu masuk melalui gerbang mini turut menyelitkan tujuh jubin bermotif bunga dan tujuh pasu bunga.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Diinspirasi daripada kisah legenda Puteri Gunung Ledang, taman indah yang terletak di Tangkak, Johor ini menampilkan kelainan dan keunikan tersendiri.

Taman Mini Ajaib berkeluasan 900 meter persegi itu bukan saja disusun dan direka dengan teratur malah, setiap elemen landskap dipilih teliti.

Diwujudkan di atas taman awam Taman Bunga Raya bersebelahan Masjid Jamek Tangkak, Taman Mini Ajaib ini dibangunkan hasil cetusan idea Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri dengan usaha sama Majlis Daerah Tangkak dan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

Menurut Perancang Bandar dan Desa Zulkifli Sabree, pelbagai elemen yang diterapkan dalam landskap Taman Mini Ajaib menjadi simbol atau perlambangan bagi kisah legenda Puteri Gunung Ledang.

“Tujuh jubin dengan motif bunga di laluan pintu gerbang mini ini menggambarkan tujuh dulang hantaran seperti syarat meminang yang disebut dalam kisah legenda itu.

“Selain itu, bagi menterjemahkan angka tujuh dulang itu kami turut susun letak tujuh pasu bunga di laluan pintu gerbang,” katanya.

Keunikan Taman Mini Ajaib juga terletak pada pemilihan tanaman yang berwarna-warni dan secara tidak langsung menaikkan suasana ceria pada taman berkenaan.

Arkitek Landskap, Mohd Hanafi Mohd Lazim berkata, pemilihan elemen landskap dibuat dengan teliti bagi memberi penekanan pada warna dalam landskap berkenaan.

“Elemen landskap lembut membabitkan penanaman beberapa spesies tumbuhan bersesuaian terutamanya pokok renek berbunga dan pokok daun renek bagi menyerlahkan elemen warna pada laman ini.

“Penanaman pokok topiari dan pokok pagaran dengan rupa bentuk yang seragam turut menyerlahkan lagi susun atur landskap.

“Selain itu, struktur menegak seperti gerbang mini dan pergola turut diselitkan bagi menyerlahkan penggunaan pokok memanjat dan pokok berpasu,” katanya.

Antara pokok renek berbunga yang diselitkan dalam taman ini adalah bunga kertas, ros Jepun, petunia, lidah kucing, amazon blue dan ruellia.

Selain itu, pokok daun renek seperti pokok bayam merah, bayam mini merah dan duranta turut menonjolkan tanaman pada landskap Taman Mini Ajaib.

‘’Kami turut selitkan pokok palma seperti pokok raphis excelsa dan pokok hiasan pisonia alba bagi menambah kepelbagaian tapi dalam masa yang sama masih teratur dan bertepatan dengan tema landskap,’’ katanya.

Kepelbagaian landskap kejur yang diketengahkan dalam taman berkenaan turut memberi impak dan menambah faktor penarik.

“Kami ingin tampilkan kelainan dengan menyelitkan arca atau struktur yang bukan saja menjadi hiasan tapi turut berfungsi mempamerkan tanaman.

“Selain gerbang mini dan pergola, landskap ‘ajaib’ ini turut menyelitkan arca basikal, kereta sorong, pasu limpah, laluan taman.

“Walaupun tema atau inspirasi taman ini lebih cenderung pada konsep tradisional tapi kami gabungkan konsep moden seperti penggunaan konkrit dan besi untuk landskap kejur supaya ia nampak lebih menarik terkini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 7:30 AM