FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: Hampir semua isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit dengan sebahagian kecil masih menggunakan telefon biasa untuk komunikasi harian.

Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2023 mendedahkan bahawa pada 2023, sebanyak 99.3 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit.

"Dari segi penggunaan telefon, 97.6 peratus memilih telefon pintar manakala 16.3 peratus daripada isi rumah masih mempunyai capaian ke atas telefon biasa," kata laporan itu

Sementara itu, capaian isi rumah ke atas Internet dan komputer masing-masing merekodkan 96.4 peratus dan 91.6 peratus.

"Televisyen berbayar pula merekodkan capaian sebanyak 77 peratus, manakala capaian telefon talian tetap semakin tidak popular dalam kalangan isi rumah iaitu dengan hanya 27.4 peratus," menurut laporan itu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, melalui laporan sama, capaian Internet melalui jalur lebar mudah alih mencecah 95.3 peratus dan ia terus menjadi pilihan isi rumah Malaysia berbanding jalur lebar tetap (47.1 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:53 AM