GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

PERSATUAN Takaful Malaysia (MTA), baru-baru ini, melancarkan kempen Race4Cover yang berlangsung dari Februari hingga Disember tahun ini sebagai usaha bersepadu untuk meningkatkan kesedaran mengenai produk Takaful dalam kalangan rakyat Malaysia.

Majlis pelepasan konvoi 30 penunggang motosikal di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini menandakan permulaan kempen yang akan memulakan perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan dan Hard Rock Cafe Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed berkata, sepanjang tempoh kempen itu, pengendali Takaful akan mempromosikan produk Takaful terlaris mereka serta menyampaikan maklumat penting mengenai manfaatnya.

"Kempen ini juga menyasarkan untuk meningkatkan kadar penembusan Takaful Keluarga dan Takaful Am serta mengurangkan jurang perlindungan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Rangkaian produk Takaful yang akan dipromosikan daripada kempen ini, disediakan khusus untuk menyediakan perlindungan kepada kumpulan B40 di negara ini ketika negara berusaha ke arah perlindungan inklusif untuk semua," katanya selepas pelancaran kempen itu, di sini.

Mohd Radzuan berkata, MTA menerusi kempen itu menggalakkan syarikat ahlinya untuk membangunkan lebih banyak produk Takaful Mikro, dalam talian dan penyakit kritikal untuk pasaran.

Beliau berkata, syarikat Takaful yang menyertai perlu inovatif dan menggerakkan sepenuhnya rangkaian pengedaran masing-masing untuk tujuan itu.

"Justeru, dengan adanya kempen ini, kami berharap pelanggan dapat membuat keputusan yang bijak dalam memilih produk Takaful," katanya.

Syarikat ahli Takaful termasuk Prudential BSN Takaful, Sun Life, Great Eastern Takaful dan Hong Leong MSIG Takaful.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 6:15 AM