TAKAFUL Malaysia. FOTO Takaful Malaysia
TAKAFUL Malaysia. FOTO Takaful Malaysia

Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 14 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ia akan dibayar pada 2 Februari 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nor Azman Zainal berkata, jumlah pembayaran dividen adalah sebanyak RM117.22 juta bagi tahun kewangan berkenaan.

Katanya, dividen yang diisytiharkan itu diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak 3.8 peratus berdasarkan harga penutup saham kumpulan sebanyak RM3.70 sesaham pada 28 Disember 2023.

"Dividen diisytiharkan mencerminkan kekuatan kewangan, pandangan positif dan komitmen kami terhadap pulangan pemegang saham.

"Ia juga membuktikan keyakinan kami terhadap keupayaan operasi serta komitmen perniagaan dalam menyampaikan nilai kepada pemegang saham kami," katanya dalam kenyataan.

Beliau menjangkakan bancatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan perniagaan takaful am kumpulan itu akan terus berkembang dan menjana pertumbuhan perniagaan.

"Kami akan memanfaatkan pertumbuhan positif rakan niaga bank untuk mengekalkan kedudukan dalam portfolio bancatakaful, mengukuhkan perniagaan perancangan kewangan takaful keluarga dan seterusnya menembusi pasaran runcit," katanya.

NOR Azman
NOR Azman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 6:01 AM