LIM (tengah) bersama Ahli Lembaga Pengarah selepas   Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-24.
LIM (tengah) bersama Ahli Lembaga Pengarah selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-24.

Sri Ayu Kartika Amri

[email protected]

PEMAJU hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS), menerusi keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-24 meluluskan pemberian dividen berjumlah 2.70 sen sesaham bagi tahun kewangan 2023.

Dividen itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan berikutan prestasi kewangan LBS yang teguh dan konsisten.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, kelulusan resolusi AGM ke-24 itu mencerminkan prospek positif dalam kalangan pemegang saham serta Lembaga Pengarah.

"Keputusan sebulat suara ke atas semua resolusi, bukti tadbir urus kukuh, visi yang strategik serta prestasi mantap kewangan kumpulan.

"Ahli lembaga pengarah turut berterima kasih kepada pemegang saham atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan berharap agar kejayaan dan pulangan lebih baik akan turut diperoleh pada tahun berikutnya," katanya.

Menurutnya, kesemua 10 resolusi biasa yang dinyatakan di dalam Notis AGM juga diluluskan dengan sewajarnya oleh pemegang saham, termasuk dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.35 sen sesaham (Dividen Akhir).

Bersama-sama dengan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.35 sen sesaham (Dividen Pertama) yang diumumkan pada 17 April 2024, jumlah keseluruhan dividen LBS bagi tahun kewangan berakhir 2023 adalah berjumlah 2.70 sen sesaham.

Dividen Pertama dan Dividen Akhir akan dibayar masing-masing pada 16 Julai 2024 dan 12 September 2024, kepada pemegang saham yang namanya tertera dalam Rekod Pendeposit LBS pada 28 Jun 2024 dan 30 Ogos 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:01 AM