BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi baharu berikutan rombakan Kabinet pada Selasa.

Pelantikan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan II semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari Jun 2016 sehingga peralihan dalam kerajaan pada Mei 2018.

Johari juga merupakan pengerusi pasukan petugas untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak Mac 2023 dan Ahli Parlimen bagi Titiwangsa dari Mei 2013 hingga Mei 2018 dan telah dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa sejak November 2022.

Selain itu, Johari turut menganggotai Majlis Ekonomi Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri. Majlis ini antara lain bertanggungjawab merangka strategi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara melalui pelaburan langsung asing dan domestik serta memantau dan menganalisis arah aliran pembangunan ekonomi global dan domestik.

Johari ialah seorang akauntan bertauliah yang berkelayakan dan Felo Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah.

JOHARI . FOTO Arkib NSTP
JOHARI . FOTO Arkib NSTP

Beliau memulakan kerjayanya di firma perakaunan antarabangsa, Peat Marwick & Co (kini sebahagian daripada KPMG) sebagai juruaudit.

Johari bergiat aktif dalam dunia korporat selama lebih 25 tahun dan memegang beberapa jawatan kanan termasuk pengarah urusan dan pengerusi kumpulan di beberapa syarikat yang tersenarai dan tidak tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi pengarah urusan syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri makanan segera, pembuatan dan pertanian.

Dalam pilihan raya umum 2022, Johari dicalonkan semula oleh BN untuk bertanding. Beliau berjaya dan terpilih semula sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa untuk penggal kedua selepas mengalahkan pesaing terdekat Khalid Abdul Samad (Pakatan Harapan) dengan majoriti 4,632 undi.

Beliau turut menewaskan Rosni Adam (Perikatan Nasional) dan Khairuddin Abu Hassan (PEJUANG).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 12:33 PM