Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Seperti dijangka, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Johari Abdul dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat, hari ini.

Johari meraih 147 undi daripada 221 Ahli Parlimen menewaskan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu yang mendapat 74 undi.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan mencalonkan Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai calon Speaker Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam media melaporkan, Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun memaklumkan beliau sudah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau sebelum ini dilaporkan bakal menjadi pilihan PH bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Johari berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, namun tidak menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu dan digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq Johari, menjadi satu-satunya wakil PH yang menang di Kedah.

Johari menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang pada 2 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 10:42 AM