TINJAUAN operasi MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang digantung serta merta berkuat kuasa hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2). FOTO Mohd Fadli Hamzah
TINJAUAN operasi MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang digantung serta merta berkuat kuasa hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2). FOTO Mohd Fadli Hamzah

Sepang: Malaysia Airports menggunakan sumbernya di lapangan terbang yang berkaitan di dalam rangkaiannya untuk menghulurkan semua bantuan yang mungkin kepada penumpang MYAirline yang terkandas, susulan pengumuman penggantungan operasi syarikat penerbangan itu, awal pagi hari ini.

Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata, notis berkaitan perkara itu diletakkan di terminal dan kakitangan lapangan terbang akan menawarkan bantuan berhubung pilihan penerbangan alternatif oleh syarikat penerbangan lain.

"Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, kawasan rehat disediakan di Aras 3 Terminal 2 dan Aras 5 Anjung Tinjau Terminal 1 supaya penumpang boleh menunggu penerbangan seterusnya," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, pada masa ini, keadaan di lapangan terbang yang terbabit susulan pengumuman MYAirline adalah terkawal.

Katanya, data operasi menunjukkan bahawa dalam dua hari akan datang (11 dan 12 Oktober 2023), sejumlah 39 penerbangan destinasi tempatan dan satu penerbangan antarabangsa ke Lapangan Terbang Don Mueang (DMK), dan ia memberi kesan kepada kira-kira 10,000 penumpang.

Oleh itu katanya, penumpang yang belum berada di lapangan terbang dinasihatkan untuk tidak datang ke lapangan terbang.

"Sebaliknya, mereka boleh meneroka pilihan penerbangan alternatif daripada syarikat penerbangan lain melalui laman web syarikat penerbangan masing-masing.

"Malaysia Airports kekal komited untuk meminimumkan kesulitan yang dialami oleh penumpang yang terjejas dan dalam memastikan semua penumpang mengalami perjalanan yang lancar di lapangan terbang kami," kata kenyataan itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 4:38 PM