RIAD menasihatkan penumpang mendaftar masuk menggunakan aplikasi mudah alih serta tiba ke lapangan terbang lebih awal.
RIAD menasihatkan penumpang mendaftar masuk menggunakan aplikasi mudah alih serta tiba ke lapangan terbang lebih awal.
Syarifah Dayana Syed Bakri


KUALA LUMPUR: Sempena Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi, AirAsia Berhad membuat persiapan rapi dengan menawarkan lebih banyak penerbangan termasuk penerbangan tambahan dan lewat malam.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pasukannya teruja menyambut penumpang yang menggunakan perkhidmatan AirAsia dan merancang pelbagai langkah bagi memastikan perjalanan lancar sepanjang musim perayaan ini.

“Lebih 700 juruterbang dan 1,500 kru kabin bertugas sepanjang musim perayaan ini.

“Malah, kakitangan lapangan juga bertugas 24 jam bagi mengendalikan jumlah trafik yang dijangka meningkat,” katanya.

Malah, menurutnya pihaknya juga menasihatkan penumpang mendaftar masuk menggunakan aplikasi mudah alih serta tiba ke lapangan terbang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Sementara itu, sepanjang musim perayaan ini, AirAsia menyediakan 734 penerbangan di AirAsia Malaysia dan 60 penerbangan (AirAsia X) yang berlepas dari Kuala Lumpur pada hari raya pertama, 5 Jun nanti.

Lebih 1,000 juruterbang dan 2,500 kru kabin bagi kedua-dua operasi AirAsia bertugas pada hari raya pertama dan kedua.

Malah, 50,000 penumpang dijangka berlepas dari terminal klia2 setiap hari sepanjang musim perayaan ini.

Dalam pada itu, AirAsia turut menyenaraikan lima laluan domestik yang mencatatkan jumlah penumpang tertinggi iaitu Kuala Lumpur (KUL)–Alor Setar (AOR), Kuala Lumpur (KUL)–Kota Bharu (KBR), Kuala Lumpur (KUL)–Kuala Terengganu (TGG), Kuala Lumpur (KUL)–Tawau (TWU), dan Kuala Lumpur (KUL)–Sandakan (SDK).

Bagi perjalanan antarabangsa, laluan yang popular adalah Kuala Lumpur (KUL)–Bangkok (DMK), Kuala Lumpur (KUL)–Chennai (MAA), Kuala Lumpur (KUL)–Denpasar (DPS), Kuala Lumpur (KUL)–Singapore (SIN) dan Kuala Lumpur (KUL)–Ho Chi Minh (SGN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 9:07 AM