PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis untuk mencapai sasaran jualan RM2.5 bilion pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) bagi edisi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata sasaran jualan itu boleh dicapai selepas jualan tahun lepas mencatatkan prestasi yang lebih baik.
"Bagi Mihas edisi tahun lalu, unjuran jualan kami ialah RM1.9 bilion tetapi ia melebihi sasaran, mencecah RM2.39 bilion, jadi kami optimis mengenai sasaran baharu tahun ini," katanya pada sidang akhbar di majlis Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) Matrade, bersempena dengan Mihas 2023 pada 12 hingga 15 September 2023.
Sementara itu, INSP, yang merupakan program utama agensi itu menyasarkan untuk menjana urus niaga bernilai RM800 juta bagi pengeksport Malaysia tahun ini daripada RM745.20 juta tahun lepas.
INSP merupakan komponen yang signifikan dalam Mihas 2023, iaitu pameran terbesar di dunia yang khusus untuk industri halal, dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan dianjurkan oleh Matrade.
Ia adalah program yang dipacu permintaan yang mana Matrade akan mengenal pasti dan memadankan pembeli antarabangsa dengan pengeksport Malaysia melalui pejabat globalnya.
Mohd Mustafa berkata, INSP tahun ini akan menjadi tuan rumah kepada hampir 500 pembeli antarabangsa dari 44 buah negara.