RIAD Asmat
RIAD Asmat
Nurul Husna Mahmud


Majalengka (Jawa Barat): AirAsia Malaysia mahu mengukuhkan dan membesarkan kedudukan sebagai pengendali tambang murah pilihan utama ke Indonesia menerusi laluan perjalanan terbaharu, Kuala Lumpur ke Kertajati.

Menerusi pelancaran rasmi laluan yang ke-12 ke negara itu yang bermula semalam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pemilihan laluan itu juga berdasarkan permintaan baik pelancong Malaysia dan antarabangsa.

"Saya optimis dengan pemilihan Kertajati sebagai laluan baharu selepas Balik Papan yang dilancarkan Mac lalu kerana kedudukannya terletak dalam ruang lingkup dua lapangan terbang tersibuk iaitu Jakarta dan Bandung.

"Ketika ini penumpang sudah mencapai 50 peratus dengan kapasiti lebih 180 penumpang bagi penerbangan sehala sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Ahad.

"Kami menjangkakan destinasi ini bakal popular seperti destinasi lain pernah ditawarkan seperti Bandung, Bali, Jakarta dan Jogjakarta membabitkan laluan dari Kuala Lumpur ke Indonesia," katanya.

Menurutnya, pihaknya komited menjayakan laluan baharu itu apatah lagi AirAsia antara pesawat antarabangsa pertama menghubungkan laluan itu.

"Kami berbesar hati menjadi syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang menghubungkan pengembara ke Kertajati.

"AirAsia memulakan penerbangan dari Malaysia ke Indonesia pada 2004, membolehkan pengembara merasai keindahan dan keajaiban kedua-dua negara serta menghubungkan masyarakat kedua-dua negara dengan mudah," katanya.

Air Asia menerbangkan lebih 2.5 juta tetamu antara kedua-dua negara sehingga tahun 2019 dan mengembangkan rangkaian ke 12 destinasi di Indonesia dengan 151 penerbangan mingguan.

"Misi kami menjadikan Jawa Barat dan Indonesia secara keseluruhannya sebagai destinasi yang perlu dilawati di Asean.

"Dengan laluan baharu ini, lebih ramai penduduk tempatan dan pengembara akan berpeluang melihat keunikan Kertajati dan tarikan berdekatan seperti Bandung yang terletak sejam dari Kertajati," katanya.

Sempena meraikan penerbangan sulungnya, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Kertajati daripada RM141 sehala.

Tambang ini juga tersedia untuk penerbangan pergi balik daripada 616,600 rupiah sehala.

Promosi bermula semalam hingga 21 Mei ini, untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 9:43 AM