ORANG ramai berurusan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
ORANG ramai berurusan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor disasarkan memiliki sekitar dua juta pegangan atau pemilikan atas tanah (landed) dan berstrata dalam tempoh tiga tahun akan datang seiring dengan pembangunan pesat di seluruh negeri ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat ini jumlah pegangan atau pemilikan hartanah milik individu secara keseluruhannya sudah mencapai 1.8 juta dan menjadikan Selangor negeri tertinggi memiliki pegangan berkenaan di seluruh negara.

"Kita ada lebih kurang 1.2 juta pegangan atau pemilikan atas tanah dan 500,000 bagi pemilikan strata. Ia tidak termasuk pemilikan kerajaan yang sudah digazetkan. Ia bermakna 1.8 juta itu adalah pegangan atau milikan peribadi (individu).

"Kalau dengan beberapa projek yang sedang berlangsung di seluruh negeri Selangor, saya rasa pemilikan itu boleh cecah dua juta dalam tempoh tiga tahun dari sekarang," katanya pada pemberita selepas merasmikan Pusat Setempat (OSC) Pejabat Tanah dan Galian Selangor di sini, semalam.

Mengulas perasmian OSC PTGS, Amirudin berkata fasiliti itu menawarkan perkhidmatan sehenti kepada pelanggan bagi urusan seperti penghantaran dokumen perserahan tanah dan strata, pungutan perserahan, pembelian carian rasmi dan persendirian, permohonan hak milik hilang/rosak dan pembayaran cukai tanah dan fi.

Katanya pembinaan pusat sehenti yang dilaksanakan pihak kontraktor dengan kos kontrak bernilai RM10.76 juta itu dimulakan pada 14 Disember 2020 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Mac lalu.

Dalam pada itu, Pengarah PTGS, Dr Yusri Zakariah berkata penubuhan OSC adalah langkah awal agensi itu ke arah pelaksanaan sistem e-Tanah Selangor yang dijangka dilancarkan pada September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 11:10 AM