GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) mengesan cubaan penipuan urus niaga tanah dengan memperdaya orang ramai menggunakan nama PTGS, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di Selangor sehingga membabitkan nama Menteri Besar Selangor.

PTGS dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis bagi kes yang dikenal pasti agar tindakan tegas boleh diambil bagi sebarang penipuan jenayah.

"Modus operandi yang digunakan ialah dengan penyamaran sebagai orang yang dilantik berurusan dengan PTGS dan mana-mana PDT.

"Pihak terbabit juga mengeluarkan notis untuk menjual hartanah dan memalsukan tandatangan pada notis terbabit.

"Terdapat juga pihak menggunakan nama pegawai kanan dan tertinggi PTGS serta PDT yang masih berkhidmat mahupun berpencen dengan memberikan maklumat dan janji palsu bagi urusan jual beli tanah," katanya hari ini.

PTGS juga menegaskan kepada orang awam bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu mewakili pentadbiran bagi sebarang urusan urus niaga hartanah.

"PTGS ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan berhati-hati dengan taktik penipuan seumpama ini.

"Diharapkan orang ramai lebih berwaspada dengan taktik penipuan seumpama ini kerana kebanyakan mereka yang menjadi mangsa penipuan ini membabitkan jumlah kerugian besar dan agak sukar mendapatkan kembali wang mereka jika menjadi mangsa," katanya.

Kenyataan itu berkata, PTGS mendapati pelbagai faktor yang menjurus kepada masalah penipuan itu sama ada membabitkan sindiket atau perseorangan.

"Antara langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan tertipu adalah pastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah dengan buat semakan berkaitan pemilikan (tuan punya tanah), nombor hak milik/ nombor lot/ nombor mukim/ saiz keluasan tanah melalui carian di PDT berkaitan atau PTGS.

"Semak sekatan kepentingan seperti kebenaran hak milik, kaveat dan cagaran/ gadaian selain memastikan

wakil mempunyai Surat Kuasa Wakil yang sah.

"Perlu wujudkan perjanjian jual beli, gunakan khidmat peguam sah, gunakan khidmat ejen hartanah berpengalaman dan jika boleh, sila berjumpa dengan tuan tanah untuk mendapatkan pengesahan," katanya.

Justeru itu katanya, pembeli yang berhasrat untuk memiliki hartanah dinasihatkan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa dalam penipuan ini.

"Sekali lagi, orang ramai wajar membuat semakan terlebih dulu dengan PTGS atau mana-mana PDT bagi mengelakkan menjadi mangsa jual beli hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 11:30 AM