PROSES permohonan rumit menyebabkan golongan peniaga membatalkan hasrat memohon pinjaman. FOTO Arkib NSTP
PROSES permohonan rumit menyebabkan golongan peniaga membatalkan hasrat memohon pinjaman. FOTO Arkib NSTP

Shah Alam: Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang menyarankan kerajaan untuk mencontohi program dilaksana oleh Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dalam proses permohonan pinjaman perniagaan untuk usahawan kecil dan sederhana.

Pengerusinya, Kamarul Nizam Razak berkata, prosedur dan dokumen yang diperlukan oleh Hijrah Selangor tidak banyak dan perkara itu memudahkan golongan itu membuat permohonan pinjaman perniagaan mereka.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lepas mengenai penawaran perkhidmatan pinjaman daripada pihak bank kepada usahawan mikro dan peniaga kecil.

Bagaimanapun, proses permohonan yang rumit di bank dan institusi pinjaman lain kelazimannya menyebabkan golongan berkenaan membatalkan hasrat memohon pinjaman yang disediakan untuk mereka.

"Contohnya bank-bank tempatan akan menyemak kredit yang menyulitkan mereka (peniaga) membuat pinjaman ini.

"Tapi di Selangor, Hijrah Selangor tidak banyak prosedur untuk periksa pelbagai dokumen, cuma setakat nak penyata akaun bank untuk sebulan berbanding pihak bank yang inginkan penyata akaun bank untuk tiga bulan," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Kamarul berkata, terdapat peniaga kecil yang tidak boleh memohon pinjaman kerana tidak mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berniaga di pasar malam, pasar tani atau pasar sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 8:10 AM