SURIANI (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara Akifcafe Coffee Industries dan Grand Hypermarket Dubai.
SURIANI (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara Akifcafe Coffee Industries dan Grand Hypermarket Dubai.

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) yakin bahawa penyertaan usahawan Malaysia di pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B), Gulfood 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menjana potensi jualan mencecah RM10 juta.

Gulfood ialah antara acara tahunan terbesar di dunia dan berlangsung dari 20 hingga 24 Februari 2023.

Sebanyak 11 syarikat Malaysia di bawah naungan Kuskop akan mengambil alih pentas di pameran yang mempromosikan rangkaian luas produk F&B Malaysia dengan matlamat untuk mempromosikan pengiktirafan jenama, memulakan rangkaian perniagaan dan menghubungkan rakan kongsi perdagangan yang berpotensi.

Semua 11 peserta pameran ini adalah usahawan tempatan yang sedang mengikuti Program Eksport Perniagaan (BEP), sebuah program intervensi yang diterajui oleh SME Bank.

Delegasi usahawan Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Menurut Kuskop, pada 2022, eksport makanan diproses Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 15.1 peratus untuk mencapai RM28.4 bilion daripada RM24.6 bilion tahun lalu.

"Eksport ke negara teluk juga meningkat dengan ketara sebanyak 23.1 peratus kepada RM1.71 bilion berbanding pada 2021 yang mencatatkan sebanyak RM1.39 bilion.

"Sehingga Disember 2022, sembilan daripada peserta berjaya memperoleh pembiayaan berjumlah RM91.65 juta daripada SME Bank.

"Menjelang 2024, semua 47 peserta BEP dijangka menjana eksport jualan sebanyak RM47.5 juta melalui penerokaan peluang pasaran baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pada misi berkenaan, Akifcafe Coffee Industries Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Grand Hypermarket Dubai untuk membekalkan kopi pracampuran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 10:10 AM