Lakaran artis untuk projek pembangunan BBCC.
Lakaran artis untuk projek pembangunan BBCC.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerjaya Bina BMK Sdn Bhd, anak syarikat 49 peratus milik Kerjaya Prospek Group Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM135.41 juta bagi cadangan pembangunan di Jalan Hang Tuah dan Jalan Pudu di Kuala Lumpur daripada BBCC Development Sdn Bhd.

BBCC Development adalah usaha sama yang ditubuhkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UDA Holdings Bhd dan Eco World Development Group Bhd.

Kerjaya Prospek dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kontrak tersebut adalah untuk mereka bentuk dan membina bangunan utama bagi cadangan projek pembangunan yang terdiri daripada apartment berperkhidmatan setinggi 31 tingkat, tingkat bawah tanah dan podium terdiri daripada parkir tujuh tingkat, lobi utama dan dewan pelbagai guna.

"Kontrak itu akan bermula pada 1 Mac 2023, dan dijangka siap dalam masa 36 bulan," katanya.

Kerjaya Prospek berkata projek tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2023 hingga 2026.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 4:15 PM