PEMPENGARUH dijangka menjadi faktor pendorong utama dalam membentuk masa depan ekonomi digital.
PEMPENGARUH dijangka menjadi faktor pendorong utama dalam membentuk masa depan ekonomi digital.

Kuala Lumpur: Membeli-belah secara penstriman langsung dan menyaksikan pempengaruh membuka bungkusan atau unboxing menjadi trend digemari generasi muda.

Ini kerana teknik ini memberi peluang pembeli mendapat nasihat peribadi dan maklum balas dua hala selain penjelasan produk dengan bukti yang menarik.

Ia juga memberi ruang pempengaruh mempamerkan potensi penuh produk dan menunjukkan keberkesanannya.

Menerusi kajian terbaru Shopee, Past the Starting Line: Adapting to Malaysia's Digital Consumers in 2023, ia mendapati 82 peratus pempengaruh Malaysia teruja untuk kekal berdaya tahan dan relevan dalam e-dagang.

Daripada 940 pempengaruh tempatan yang ditinjau bulan lalu, 60 peratus sudah bersama platform berkenaan kurang daripada setahun.

"Dua pertiga daripada pempengaruh memberi tumpuan untuk mengukuhkan niche mereka sebagai sebahagian daripada personaliti dan berhubung dengan pembeli berasaskan nilai melalui ketelusan.

"Disebabkan mereka mendapat maklum balas berterusan daripada pembeli muda yang menuntut lebih banyak maklumat untuk berbelanja dengan lebih bijak, pempengaruh Shopee ingin menghasilkan kandungan lebih tulen dan sahih merentas format langsung untuk lebih dekat dengan pengikut mereka.

"Untuk mencapai matlamat ini, pempengaruh membabitkan pengguna melalui Shopee Live dengan enam daripada 10 mengutamakan kandungan video lebih diperibadikan dalam mempromosikan produk melalui ulasan, unboxing, petua dan demonstrasi langsung.

Sementara itu, Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pihaknya teruja untuk melihat maklum balas optimistik daripada komuniti pempengaruh Shopee dan terharu melihat pertumbuhan mereka.

"Pempengaruh ini akan menjadi faktor pendorong utama dalam membentuk masa depan ekonomi digital dan kami gembira melihat mereka mengorak langkah ke hadapan untuk meluaskan pengetahuan dan kemahiran mereka melalui Shopee Masterclasses.

"Kami komited untuk membantu golongan ini memupuk hubungan yang lebih bermakna dan setia dalam talian melalui Shopee Affiliate Programme, Shopee Influencer Marketing Programme, dan Shopee Live," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:16 AM