Kuala Lumpur: Shopee menyaksikan pengguna kini lebih bijak berbelanja dengan membuat carian untuk produk yang menawarkan lebih nilai.

Kata kunci seperti pre-loved, bundled, warehouse clearance, thrift, second hand, used, demo unit dan pre-owned menjadi pilihan pengguna khususnya dalam tempoh tiga tahun ini.

Ia menyaksikan 1.4 juta item dan produk terpakai terjual dalam tempoh itu meliputi produk unit demo, item untuk pengosongan gudang, item dengan kecacatan kecil, barangan pukal dan produk terpakai.

Sebahagian besar produk yang dipilih adalah dari kategori barangan pantas bergerak seperti produk bayi, mainan, barangan runcit, makanan haiwan serta kesihatan dan kecantikan yang mewakili 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Bagi produk fesyen, ia mewakili 27 peratus daripada jumlah jualan, barangan gaya hidup seperti kelengkapan rumah, sukan, permainan dan buku (17 peratus) dan selebihnya barangan elektronik terpakai.

Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pembelian bernilai adalah masa depan dalam sektor ini.

"Generasi Z di platform kami menyaksikan produk dari kategori terpakai ini menjadi pilihan mereka.

"Untuk setiap enam carian produk baharu, empat daripadanya produk terpakai atau unit paparan.

"Kami juga memudahkan pengguna mencari produk terpakai dengan memberi penerangan dan menunjukkan keadaan barangan supaya pelanggan dapat membuat keputusan bijak.

"Pada Februari lalu, kami saksikan 15 peratus kenaikan dalam penyenaraian produk terpakai berbanding Februari tahun lalu," katanya.

Menurutnya, cecair sanitasi tangan adalah produk paling popular untuk kategori pembersihan gudang kerana rakyat Malaysia meningkatkan keperluan mereka untuk perlindungan kebersihan diri.

Malah, pembeli juga memilih kategori pramilik berbanding baharu untuk aksesori dan mainan, serta aksesori haiwan kesayangan.

Katanya, hasil jualan dibuat secara langsung daripada pempengaruh merekodkan empat kali lebih banyak jualan barangan terpakai dan dua kali lebih banyak untuk jualan siaran langsung bagi produk pramilik berbanding produk baharu.

Ia dikaitkan dengan cara penyampaian pempengaruh yang disertakan dengan mesej positif yang mampu mempengaruhi pemikiran dan cita rasa pengguna.

Shopee memperkenalkan ciri change of mind di mana pelanggan boleh membuat pemulangan dan menerima bayaran balik untuk keseluruhan produk fesyen bagi mengelakkan pembaziran pada Ramadan dan Syawal ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 7:56 AM