Aishah (empat dari kiri) pada sidang akhbar mengenai prestasi peniaga dan pengilang motor. - FOTO NSTP
Aishah (empat dari kiri) pada sidang akhbar mengenai prestasi peniaga dan pengilang motor. - FOTO NSTP
BERNAMA

Petaling Jaya: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan jualan kenderaan elektrik (EV) jauh lebih tinggi tahun ini berbanding 2,631 unit yang terjual pada 2022.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata ini disebabkan oleh pengenalan banyak model EV baharu di pasaran dan insentif cukai jualan yang akan memberangsangkan.

"Jangkaan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 650,000 unit bagi 2023 akan merangkumi jualan kenderaan hibrid dan unit EV," katanya pada sidang akhbar mengenai prestasi peniaga dan pengilang motor di sini hari ini.

Terdahulu, Aishah berkata unjuran TIV akan menyumbang kepada jualan kenderaan penumpang serta komersial masing-masing pada 585,000 dan 65,000 unit tahun ini.

MAA juga akan merayu kepada kerajaan dalam mempertimbangkan pelanjutan insentif EV untuk tempoh yang lebih lama sehingga 2030 dan bukan secara tahunan.

"Kami berpendapat pelanjutan insentif berdasarkan dari tahun ke tahun tidak mencukupi (kerana) anda perlu membuat banyak pelaburan dan semua pelabur perlu yakin bahawa EV akan terus dijual," katanya.

-- BERNAMA

TAG: MAA, Aishah Ahmad, kenderaan elektrik

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 7:06 PM