FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jualan kenderaan baharu Malaysia menyusut empat peratus kepada 62,833 unit pada Februari 2024 daripada 65,499 unit pada Januari 2024 untuk tempoh bulan bekerja yang lebih singkat berikutan cuti perayaan Tahun Baharu Cina, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA dalam kenyataan hari ini berkata pada Februari, sebanyak 57,979 unit kenderaan penumpang telah dijual, menokok tiga peratus daripada 56,433 unit yang dijual pada Februari 2023 manakala jualan kenderaan komersial merosot 32 peratus kepada 4,854 unit daripada 7,128 unit.

Pada asas tahunan, jualan Februari susut satu peratus kepada 62,833 unit berbanding 63,561 unit pada bulan yang sama tahun lepas.

"Jumlah jualan setakat ini bagi Februari 2024 adalah 13 peratus lebih tinggi (kepada 128,332 unit) daripada (113,729 unit) tempoh yang sama pada 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi pengeluaran, MAA berkata 65,611 unit kenderaan dikeluarkan pada Februari 2024, kenaikan tiga peratus daripada 63,798 unit pada Februari 2023.

Daripada jumlah itu, sebanyak 61,935 unit adalah kenderaan penumpang (meningkat 3 peratus daripada 59,843 unit pada bulan yang sama tahun lepas), manakala baki 3,676 unit adalah kenderaan komersial (turun 7 peratus daripada 3,955 unit sebelumnya).

Mengenai prospek untuk Mac 2024, MAA menjangkakan jualan yang lebih tinggi berbanding Februari 2024, berikutan penghantaran yang cepat oleh syarikat dengan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dan kempen promosi Hari Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 1:32 PM