Melati Abdul Hai
Melati Abdul Hai

Kuala Lumpur: McDonald's Malaysia menggunakan pendekatan inovatif dan menarik dengan menerbitkan satu siri drama original di Instagram Reels untuk menarik minat golongan muda yang sedang mencari pekerjaan.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, McDonald's mengambil keputusan untuk menyelami kehidupan anak muda hari ini dan mencari jalan baru untuk mengetengahkan budaya, nilai dan pelbagai peluang yang wujud di McDonald's.

"Dengan mengambil kira media sosial sebagai medium popular, syarikat ini ingin menyemai minat dan menggalakkan permohonan pekerjaan dengan pengeluaran siri drama mini sembilan episod bertajuk Kau Sundaeku.

"Siri drama Instagram yang santai dan menyeronokkan ini tidak dinafikan adalah sesuatu yang baru dan lain daripada yang lain. Kami mahu mencipta hubungan yang lebih baik dengan generasi muda supaya ia membolehkan kami mempamerkan peluang pekerjaan yang menyeronokkan dan laluan kerjaya yang ditawarkan keluarga besar Mekdi," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, McDonald's melaburkan jumlah yang signifikan bagi menjalankan pelbagai program latihan untuk mempersiapkan belia menempuh kerjaya dalam industri makanan dan minuman.

"Sebagai contoh, Program Perantis Vokasional McDonald's yang merupakan program latihan berasaskan industri selama 18 bulan yang menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran dan 30 peratus pembelajaran teori di dalam kelas.

"Kejayaan program ini merupakan hasil kerjasama antara McDonald's Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diperkenalkan oleh Kementerian.

"Sejak 2018, Program Perantis Vokasional McDonald's telah membantu lebih 3,500 belia daripada pelbagai latarbelakang untuk mendapatkan pengalaman dan pekerjaan dalam industri makanan dan minuman," katanya.

Sebagai sebahagian daripada Visi McDonald's 2026, restoran khidmat segera ini komited melaburkan sejumlah RM1.35 bilion dalam tempoh beberapa tahun mendatang untuk membuka 500 restoran di Malaysia. "Dengan pengembangan ini, syarikat dijangka mampu menawarkan lebih 50,000 peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia menjelang 2026, termasuk 15,000 perantis baru di bawah Program Perantis Vokasional McDonald's," katanya.

Siri mini sembilan episod bertajuk "Kau Sundaeku" mula diterbitkan di Instagram Reels pada 21 Disember 2022, dengan setiap episod mengambil masa satu minit.

Ia mengisahkan tentang seorang pengurus dan tiga kru restoran yang datang daripada latar belakang berbeza, yang menemui 'rumah' mereka dan mempunyai rasa kekitaan semasa bekerja di McDonald's.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 7:01 AM