FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Malaysia amat komited menghasilkan minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria mampan di bawah Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang dilaksanakan secara mandatori mulai 1 Januari 2020, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Katanya, pada awal tahun 2022, Malaysia menyemak semula piawaian MSPO agar selari dengan norma antarabangsa, meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop yang lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global.

Namun, MPOB kini bimbang dengan persetujuan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan import beberapa produk termasuk minyak sawit, daging lembu, kacang soya, kopi, koko, dan kayu-kayan.

Menurut kenyataan yang dikongsi di laman sesawang Suruhanjaya Eropah (EC), EU mencapai persetujuan pada 6 Disember 2022 untuk mengharamkan import beberapa produk termasuk minyak sawit, daging lembu, kacang soya, kopi, koko dan kayu-kayan yang dikenal pasti sebagai 'pemacu penebangan hutan' jika pengeluarannya mengakibatkan penebangan hutan dan degradasi hutan selepas 31 Disember 2020.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penambahbaikan mengenai perkara yang membabitkan isu sosial dan tenaga kerja, amalan baik, Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan kuantifikasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) dipertimbangkan dalam semakan standard MSPO itu.

Beliau berkata, pembangunan industri sawit Malaysia juga dikawal lebih 60 peraturan dan undang-undang, menjadikannya industri paling dikawal selia di Malaysia.

Selain itu, Malaysia juga komited terhadap pemuliharaan hutan dan biodiversiti hutan hujan tropika dan masih mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasannya di bawah litupan hutan seperti yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992.

Beliau berkata, peraturan EU hanya menyasarkan penanaman komoditi daripada ekonomi membangun sebagai cabaran utama dalam melindungi alam sekitar global.

"Implikasi bagi industri sawit diandaikan daripada keperluan untuk membuat penilaian wajar yang akan menambah beban pentadbiran dan kos pengeluaran yang lebih tinggi berbanding minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari yang dikeluarkan dalam negara mereka.

"Terdapat diskriminasi di sini kerana tanaman lain seperti biji sesawi dan bunga matahari tidak menjadi sasaran. Selain itu, pekebun kecil mungkin bergelut untuk mematuhi dan dikecualikan daripada pasaran EU," katanya dalam kenyataan semalam.

Berdasarkan kenyataan yang dikongsi di laman sesawang EC, undang-undang baharu itu selepas diterima pakai dan digunakan, akan memastikan barangan yang memasuki pasaran EU tidak lagi menyumbang kepada penebangan hutan dan degradasi hutan di EU dan tempat lain di dunia.

Ahmad Parveez berkata, pembabitan industri sawit Malaysia dalam penebangan hutan adalah sangat rendah berikutan pelaksanaan ketat peraturan dan undang-undang di Malaysia.

"Ini perlu diiktiraf oleh EU. Berdasarkan tafsiran, minyak sawit dan produknya yang dihasilkan daripada ladang sawit sedia ada sebelum 1 Januari 2021 dianggap bebas penebangan hutan.

Malaysia tidak membenarkan penebangan hutan untuk penanaman sawit. EU mesti mengiktiraf produk berdasarkan negara asal dan bukan secara global seperti yang dilakukan untuk biofuel sawit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 7:00 AM