HAKIMAH  (kiri) dan Dr Mohamed Ridza (dua dari kiri) mendengar   penerangan  daripada  pembantu makmal.
HAKIMAH (kiri) dan Dr Mohamed Ridza (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada pembantu makmal.

Gombak: Makmal analisis halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang kini dalam fasa akhir pembinaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff berkata, makmal baru terletak di Bandar Enstek, Nilai itu sudah mencapai tahap 99 peratus siap dan mula memproses sampel produk bagi tujuan pensijilan halal.

“Di peringkat permulaan, makmal ini akan membantu melancarkan proses pensijilan Halal JAKIM. Beberapa sampel bahan mentah yang kita ambil dari kilang-kilang akan diuji di sini.

“Manakala sampel yang berkait dengan kes penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dijalankan di Jabatan Kimia berikutan wujud implikasi undang-undang,” katanya pada sidang media ketika menghadiri majlis Pelancaran Makmal Halal Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART) di sini, semalam.

Majlis bagaimanapun dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Razali Shahabudin. Ia turut dihadiri Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin dan Pengarah INHART, Prof Dr Irwandi Jaswir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:46 AM