NURULHIDAYAH Ahmad Zahid. FOTO arkib NSTP
NURULHIDAYAH Ahmad Zahid. FOTO arkib NSTP
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: MQ Technology Bhd (MQ Tech) membuat penetapan semula membabitkan jawatan pengurusan tertingginya dengan melantik Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid sebagai Pengerusi yang baharu berkuat kuasa 5 Disember 2022.

Nurulhidayah sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi MQ Tech selepas dilantik bagi memegang jawatan itu pada 2 Jun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MQ Tech mengumumkan Pengerusinya, Datuk Lim Char Boo, ditetapkan semula sebagai Naib Pengerusi berkuat kuasa pada hari yang sama.

Nurulhidayah, 44, adalah anak kepada Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara pengalamannya termasuk berkhidmat sebagai Naib Presiden Komunikasi Korporat (Pengurus Besar) di Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dari Disember 2012 hingga April 2016.

Nurulhidayah memegang ijazah komunikasi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Lincoln University College.

MQ Tech adalah syarikat yang terbabit dalam perniagaan perkakasan dan prototaip, yang membangunkan acuan, alatan, jig serta lekapan yang digunakan dalam pembuatan pemacu cakera keras, industri automotif dan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:29 PM