Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa untuk terus memberi tumpuan kepada meningkatkan keyakinan pelabur dalam ekonomi sebenar dengan menunjukkan bahawa ia bersedia untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat kejatuhan nilai ringgit.

Penyusutan nilai mata wang memberikan cabaran yang ketara kepada orang ramai dan perniagaan apabila kos produk yang diimport meningkat, seterusnya membawa kepada penurunan dalam kuasa beli pengguna.

Ketua Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata kemerosotan nilai ringgit disebabkan terutamanya oleh pengukuhan dolar AS, didorong oleh pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah dan kekal agresif dalam langkah-langkah mengetatkan dasarnya.

Pihak Fed telah menaikkan kadar faedahnya sebanyak 75 mata asas tiga kali tahun ini, membawa kepada aliran keluar modal yang ketara daripada pasaran sedang pesat membangun dan ini bukan sahaja menjejaskan ringgit malah mata wang lain juga.

"Ringgit mungkin mengakhiri tahun ini pada paras RM4.05-RM4.35 berbanding dolar AS," katanya.

Selain itu, Shan turut memuji Bank Negara Malaysia sambil menyatakan bank pusat itu telah melakukan yang terbaik dari segi dasar monetari dan memastikan kestabilan kewangan dalam sistem.

Sementara itu, rakan kongsi urus niaga PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia untuk ekonomi dan dasar Patrick Tay berkata memandangkan masalah global yang semakin meningkat, kerajaan harus berhati-hati terhadap sebarang pengurangan dalam rangsangan fiskal seperti pengurangan perbelanjaan yang meluas.

"Saya berharap kerajaan akan melaksanakan inisiatif penting yang akan menghasilkan faedah jangka panjang yang berterusan tanpa banyak kesan jangka pendek," katanya kepada Bernama sambil menambah pengurangan cukai perniagaan dan peribadi yang disasarkan juga amat diperlukan dalam persekitaran semasa.

Secara keseluruhannya, beliau percaya Bajet 2023 akan menyediakan peruntukan yang besar untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan sokongan untuk rakyat dengan mengurangkan kos sara hidup.

Walaupun ringgit yang semakin lemah telah memberi kesan kepada beberapa sektor, pengendali perniagaan perkhidmatan wang Merchantrade Asia Sdn Bhd berkata perniagaannya terus melihat nilai dan jumlah kiriman yang sihat meskipun pada kadar yang lebih rendah sedikit berbanding tempoh sebelum pandemik.

"Dengan pembukaan semula sempadan dan penghapusan sekatan perjalanan, kami melihat lonjakan yang utuh dan pemulihan dalam perniagaan mata wang kami, dan ini juga menjadi faktor pertumbuhan kukuh dalam pengambilan e-dompet pelbagai mata wang Merchantrade Money apabila rakyat Malaysia mula mengembara semula untuk perniagaan dan percutian," kata jurucakapnya.

Melangkah ke hadapan, Merchantrade berharap kerajaan akan memperkenalkan dasar-dasar yang akan menarik pelaburan langsung asing yang lebih kukuh ke dalam negara dan pelancong asing untuk datang ke Malaysia, tinggal lebih lama dan lebih banyak berbelanja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 12:55 PM